PADA SUATU HARI

Saturday, November 8, 2014

Kerbau Balar

Dalam sekumpulan kerbau, ada sepasang kerbau balar. Warna kulitnya merah, tidak hitam seperti kerbau-kerbau yang lain. Oleh kerana kulit yang berbeza warnanya itu, kerbau balar selalu dihalau oleh kerbau lain. Kedua-duanya tidak dibenarkan makan bersama dan tidur sekandang.

"Rupa kamu tidak sama dengan kami," kata kerbau yang lain itu.

Kedua-dua kerbau balar itu sangat sedih kerana mereka selalu disisihkan.

Pada suatu musim, kerbau hitam dan kerbau balar itu mendengar tuan mereka akan menangkap mereka. Semuanya akan dihantar ke satu tempat dan akan dipakaikan gelang merah.

Pada suatu hari, kedua-dua kerbau merah itu tersesat ke tempat orang menyembelih kerbau. Kerbau balar melihat beberapa kepala dan kaki kerbau bergelimpangan di kawasan itu. Lalu selepas itu tahulah mereka apa yang sebenarnya terjadi.

Ketika kerbau-kerbau lain ditangkap, kedua-dua ekor kerbau balar itu melarikan diri ke hutan. Kerbau-kerbau yang lain semuanya disembelih.

Selamatlah kedua-dua kerbau balar itu. Lalu kedua-duanya menjadi kerbau liar yang susah untuk ditangkap lagi.

No comments:

Post a Comment