Wednesday, December 25, 2013

Pembela Anak Yatim

Kehadiran ibu bapa di sisi amat membahagiakan. Tetapi, bagaimana pula keadaan sahabat kita yang telah kehilangan ibu atau bapa ataupun kedua-duanya. Yang ada, hanyalah kesepian dan kesedihan yang bertakhta di hati buat selama-lamanya.

Sebenarnya, Rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW juga merupakan seorang anak yatim. Bahkan Rasulullah SAW tidak pernah melihat wajah ayahandanya kerana ayahandanya wafat ketika Rasulullah SAW masih di dalam kandungan ibunya. Kesedihan Rasulullah SAW bertambah apabila ibunya pula meninggal dunia ketika Rasulullah SAW baru berumur enam tahun.

Kepayahan hidup sebagai anak yatim piatu , menjadikan Rasulullah SAW sentiasa mengambil berat perihal anak-anak kecil yang kehilangan ibu bapa. Pernah terjadi suatu peristiwa pada hari raya, ketika orang ramai mula mengunjungi masjid untuk mengerjakan solat Idul Fitri, Rasulullah SAW terpandang seorang kanak-kanak lelaki yang sedang menangis.

Kanak-kanak itu mengasingkan dirinya daripada rakan-rakannya yang lain. Di hari lebaran di mana kanak-kanak lain bergembira, dia hanya mampu menangis keseorangan. Air mata yang mengalir disapu pada pakaiannya yang sudah usang dan koyak. Hati Rasulullah SAW tersentuh melihatkan keadaan itu. Di hampirinya kanak-kanak itu dan disapanya dengan lembut.

"Kenapa kamu menangis?'' Rasulullah SAW bertanya.

"Saya tidak ada baju baru seperti mereka.," jawab kanak-kanak itu.

"Kenapa ayahmu tidak membelikan baju baru untukmu?" tanya Rasulullah SAW lagi.

"Ayah saya sudah meninggal dunia, ibu pula berkahwin lain. Bapa tiri tidak pernah mempedulikan saya," jawab kanak-kanak itu.

Rasulullah SAW sayu mendengar kata-kata anak yatim itu.
"Mahukah kamu jika Fatimah menjadi kakakmu, Ali menjadi abangmu, Hasan dan Husain menjadi saudaramu, dan aku pula menjadi ayahmu?" Rasulullah SAW bertanya sambil memujuk.

Pertanyaan itu menjadikan anak yatim itu sungguh terkejut. Tanpa berlengah lagi terus didongakkan kepalanya.
"Adakah tuan ini Rasulullah?" tanya si anak yatim itu.

Rasulullah SAW menganggukkan kepalanya.
"Sudikah kamu menjadi anakku?" Rasulullah SAW mengulangi pertanyannya.

Kanak-kanak kecil itu terus memeluk kaki Rasulullah SAW dengan penuh kegembiraan. Rasulullah SAW mendukung dan membawa kanak-kanak itu pulang ke rumah. Rasulullah SAW sendiri memandikan kanak-kanak itu, diberinya pakaian baru, disuapkan makanan dan diberi sebuah beg yang berisi duit. Selepas itu, Rasulullah SAW biarkan kanak-kanak itu bermain bersama rakan-rakannya. Riang sungguh hati kanak-kanak tadi. Kini, dia sudah ada baju baru. Dan yang paling penting dia kini sudah ada ayah.

Demikian Rasulullah SAW menunjukkan keprihatinannya kepada anak yatim. Rasulullah SAW bukan sahaja membantu, tetapi juga memberikan kasih sayang.

Dalam satu riwayatnya Rasulullah SAW bersabda : ''Keluarga Muslim yng terbaik adalah yang di dalamnya ada anak yatim dan diasuh dengan baik." Malahan Rasulullah SAW juga pernah bersabda : "Aku dan orang yang mengasuh anak yatim akan berada di syurga."

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM