Saturday, August 3, 2013

Peristiwa Lubuk Jong

Di sebuah kampung kecil tinggallah keluarga Pak Buntal yang miskin. Pak Buntal hidup bersama isterinya, Mak Buntal. Mereka mempunyai seorang anak lelaki. Namanya Awang Buntal.

Ada juga orang kampung yang memanggil Awang Buntal sebagai Awang Butar. Setelah dewasa, Awang Buntal pergi mengembara ke luar kampung. Awang Buntal sangat berhajat untuk menjadi orang kaya.

Dengan perahu kecilAwang Buntal menghilir menuju ke arah Sungai Kelantan. Awang Buntal ingin berniaga. Daripada berniaga secara kecil-kecilan, akhirnya Awang Buntal menjadi saudagar yang terkenal.

Pada suatu hari, Awang Buntal pulang ke kampungnya.

Mendengar Awang Buntal pulang dan berlabuh di kampungnya, Pak Buntal dan Mak Buntal pun berasa gembira. Mereka membawa segenggam nasi semangat, apam dan semangkuk bertih beras untuk Awang Buntal.

Alangkah kecewanya mereka apabila kedatangan mereka tidak diterima oleh Awang Buntal. Awang Buntal berasa malu kepada tiga orang isterinya kerana keadaan ibu bapanya yang hodoh.Dia terus menghalau Pak Buntal da Mak Buntal.

Oleh kerana terlalu marah, Awang Buntal menolak Pak Buntal dan Mak Buntal ke tebing sungai. Nasi semangat dan bertih goreng bertaburan ke dalam sungai. Awang Buntal pun memerintahkan awak-awaknya melayarkan jongnya ke tempat lain.

Pada saat itu juga, angin ribut datang menerpa. Kilat sabung-menyabung. Sekelip mata, jong Awang Buntal terbakar lalu tenggelam.Maka tenggelam jugalah Awang Buntal berserta isteri-isterin dan awak-awaknya sekali. Sejak itulah lubuk itu dinamakan Lubuk Jong.