Saturday, July 27, 2013

Gagak dan Bangau

Dahulu burung gagak bersahabat baik dengan burung bangau. Kedua-duanya selalu mencari makan bersama.Mereka terbang ke danau yang jernih airnya. Mereka hinggap di kawasan hutan yang subur menghijau. Kadang-kadang mereka juga mencari makan di kawasan bukit.

Pada waktu itu, bulu bangau tidak putih sebagaimana sekarang. Bulunya hitam legam dan tidak menarik.Sebaliknya bulu gagak putih berkilat. Pada suatu hari, bangau bertanya kepada gagak tentang rahsia bulunya yang cantik itu.

"Kita telah lama bersahabat. Patutlah engkau memberitahu aku rahsia kecantikan bulu engkau," kata bangau. "Bolehkah bulu aku yang hitam ini bertukar menjadi putih seperti engkau?" tanya bangau lagi.

"Aku boleh beritahu tentang rahsia bulu aku. Tetapi engkau mestilah berjanji supaya tidak memberitahu sesiapa pun," kata gagak.

Setelah berteguh-teguh janji, gagak pun memberitahu rahsia kecantikan bulunya.

"Apabila selesai menggunakannya nanti hendaklah engkau pulangkan kepada aku," kata gagak.

Bangau bersetuju dengan syarat gagak itu.

Benarlah sebagaimana yang dikatakan oleh gagak. Bangau dengan hati-hati mencampurkan warna yang diberikan oleh gagak. Kemudian ia menyiramkan warna campuran itu kepada bulunya. Dengan sekelip mata warna bulu bangau menjadi putih perak berkilat.

Bangau sangat gembira melihat bulunya yang cantik. Padanya, ialah burung yang tercantik di dunia. Terfikir pula ia di dalam hati bahawa kaum bangau mestilah menjadi burung yang tercantik. Bangau juga berfikir bahawa kaumnya mestilah merupakan burung yang putih sekali dalam dunia.

Ia lupa kepada janji dan budi baik gagak terhadapnya.Apabila sampai masa memulangkan warna itu kepada gagak, ia sengaja buat-buat lupa.

"Engkau mesti pulangkan kepada aku campuran warna itu," kata gagak.

Bangau pulang ke sarangnya. Ia mencampurkan warna itu hingga menjadi hitam legam. Setelah siap campuran warna itu, bangau pun pergi mencari gagak.

"Manakah warna yang kita janjikan itu?" tanya gagak kepada bangau.

Dengan serta-merta bangau mengambil warna campuran warna hitam yang dibawanya. Ia menyiramkan warna itu ke badan gagak. Apalagi, bulu gagakyang putih itu bertukar menjadi hitam legam.

"Mengapakah engaku lakukan ini?" tanya gagak. Ia amat marah.

"Aku mahu menjadi burung tercantik di dunia. Aku tidak mahu ditandingi oleh mana-mana burung, termasuk kamu."kata bangau.

Gagak sangat marah apabila mendengar kata-kata itu. Ia segera mengejar bangau yang hendak melarikan diri.

Sejak itulah bulu gagak hitam legam dan tidak cantik. Sebaliknya bulu bangau putih berkilat dan cantik. Sejak hari itu juga gagak sentiasa memusuhi bangau. Kedua-duanya tidak boleh bertemu, tentu bangau dan gagak akan berkelahi.

No comments:

Post a Comment