Wednesday, December 25, 2013

Pembela Anak Yatim

Kehadiran ibu bapa di sisi amat membahagiakan. Tetapi, bagaimana pula keadaan sahabat kita yang telah kehilangan ibu atau bapa ataupun kedua-duanya. Yang ada, hanyalah kesepian dan kesedihan yang bertakhta di hati buat selama-lamanya.

Sebenarnya, Rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW juga merupakan seorang anak yatim. Bahkan Rasulullah SAW tidak pernah melihat wajah ayahandanya kerana ayahandanya wafat ketika Rasulullah SAW masih di dalam kandungan ibunya. Kesedihan Rasulullah SAW bertambah apabila ibunya pula meninggal dunia ketika Rasulullah SAW baru berumur enam tahun.

Kepayahan hidup sebagai anak yatim piatu , menjadikan Rasulullah SAW sentiasa mengambil berat perihal anak-anak kecil yang kehilangan ibu bapa. Pernah terjadi suatu peristiwa pada hari raya, ketika orang ramai mula mengunjungi masjid untuk mengerjakan solat Idul Fitri, Rasulullah SAW terpandang seorang kanak-kanak lelaki yang sedang menangis.

Kanak-kanak itu mengasingkan dirinya daripada rakan-rakannya yang lain. Di hari lebaran di mana kanak-kanak lain bergembira, dia hanya mampu menangis keseorangan. Air mata yang mengalir disapu pada pakaiannya yang sudah usang dan koyak. Hati Rasulullah SAW tersentuh melihatkan keadaan itu. Di hampirinya kanak-kanak itu dan disapanya dengan lembut.

"Kenapa kamu menangis?'' Rasulullah SAW bertanya.

"Saya tidak ada baju baru seperti mereka.," jawab kanak-kanak itu.

"Kenapa ayahmu tidak membelikan baju baru untukmu?" tanya Rasulullah SAW lagi.

"Ayah saya sudah meninggal dunia, ibu pula berkahwin lain. Bapa tiri tidak pernah mempedulikan saya," jawab kanak-kanak itu.

Rasulullah SAW sayu mendengar kata-kata anak yatim itu.
"Mahukah kamu jika Fatimah menjadi kakakmu, Ali menjadi abangmu, Hasan dan Husain menjadi saudaramu, dan aku pula menjadi ayahmu?" Rasulullah SAW bertanya sambil memujuk.

Pertanyaan itu menjadikan anak yatim itu sungguh terkejut. Tanpa berlengah lagi terus didongakkan kepalanya.
"Adakah tuan ini Rasulullah?" tanya si anak yatim itu.

Rasulullah SAW menganggukkan kepalanya.
"Sudikah kamu menjadi anakku?" Rasulullah SAW mengulangi pertanyannya.

Kanak-kanak kecil itu terus memeluk kaki Rasulullah SAW dengan penuh kegembiraan. Rasulullah SAW mendukung dan membawa kanak-kanak itu pulang ke rumah. Rasulullah SAW sendiri memandikan kanak-kanak itu, diberinya pakaian baru, disuapkan makanan dan diberi sebuah beg yang berisi duit. Selepas itu, Rasulullah SAW biarkan kanak-kanak itu bermain bersama rakan-rakannya. Riang sungguh hati kanak-kanak tadi. Kini, dia sudah ada baju baru. Dan yang paling penting dia kini sudah ada ayah.

Demikian Rasulullah SAW menunjukkan keprihatinannya kepada anak yatim. Rasulullah SAW bukan sahaja membantu, tetapi juga memberikan kasih sayang.

Dalam satu riwayatnya Rasulullah SAW bersabda : ''Keluarga Muslim yng terbaik adalah yang di dalamnya ada anak yatim dan diasuh dengan baik." Malahan Rasulullah SAW juga pernah bersabda : "Aku dan orang yang mengasuh anak yatim akan berada di syurga."

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Saturday, September 21, 2013

Pokok Kurma Menangis Kerana Rindu Kepada Rasulullah SAW

Adik-adik, bukan hanya kita sebagai manusia sahaja yang rindu kepada Rasulullah SAW, tetapi ada sebatang pokok kurma yang menangis kerana rindukan Rasulullah SAW. Dengarkanlah cerita yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari ini adik-adik.

                                                       Gambar sekadar hiasan.
                                               

Jabir r.a berkata, Rasulullah SAW pernah menyampaikan khutbah dan ceramahnya sambil berdiri memegang  sebatang pokok kurma. Seorang wanita telah mencadangkan kepada baginda dan berkata, " Ya Rasulullah, mahukah engkau kami dirikan sebuah mimbar?" Baginda menjawab, "Jika kalian memang menginginkannya, silalah!"

Maka para sahabat pun membuatkan sebuah mimbar untuk Rasulullah SAW. Pada hari Jumaat, baginda SAW melangkah menuju mimbar itu. Tiba-tiba pokok kurma yang biasa digunakan oleh nabi SAW menangis. Rasulullah SAW segera turun dari atas mimbar dan memeluk batang pokok itu. Pokok itu menangis seperti seorang bayi dan Rasulullah SAW telah memujuknya supaya diam.

Jabir r.a. selanjutnya berkata, "Batang pokok kurma itu juga menangis bila mendengar orang membaca zikir atau mendengar al-Quran dibacakan di hadapannya." (Riwayat Bukhari)

Sementara Tufail bin Ubai bin Ka'ab meriwayatkan daripada ayahnya, ayahnya bercerita, dahulu Rasulullah SAW menyampaikan khutbahnya dengan bersandar di sebatang pokok kurma. Ketika itu, masjid nabi hanyalah sebuah ruangan kosong sahaja. Seorang lelaki mencadangkan kepada baginda, "Ya Rasulullah, adakah engkau setuju jika kami membuat sebuah mimbar untukmu? Engkau boleh berdiri di atas mimbar itu pada hari Jumaat dan orang ramai dapat mendengar khutbahmu?" Baginda menjawab: "Ya."

Satu hari, pada hari Jumaat, nabi SAW ingin menyampaikan khutbahnya. Ketika baginda SAW melintasi pokok kurma yang biasa digunakan untuk bersandar ketika berkhutbah, tiba-tiba pokok kurma itu menangis dan meratap hiba. Nabi SAW turun dari mimbar dan mengusap pokok itu sehingga diam. Lalu, baginda SAW kembali ke atas mimbar untuk menyampaikan khutbah.

Ketika masjid nabi dibina kembali untuk dibesarkan, Ubai bin Ka'ab mengambil tunggul  pokok kurma itu. Tunggul pokok itu terus berada di rumahnya sehinggalah reput dan habis di makan zaman. ( Riwayat Baihaqi).

~ Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW. Hanya dengan cara itu kita akan sentiasa mengingati baginda SAW.

Wednesday, September 18, 2013

Memerang Berjasa

Pada zaman dahulu ada seorang penangkap ikan bernama Pak Sukun. Dia menangkap ikan di Lubuk Sena dengan menggunakan jala.

Pada suatu hari, Pak Sukun terjumpa ibu memerang yang sedang mencari ikan dengan dua ekor anaknya. Pak Sukun tertarik dengan anak memerang itu. Dia pun menangkap seekor daripadanya.

Pak Sukun hidup sebatang kara. Dia menjadikan anak memerang itu sebagai kawan baiknya. Setiap kali dia pergi ke Lubuk Sena, Pak Sukun membawa anak memerang dan mengajarnya menangkap ikan.

Setelah anak memerang itu dewasa, kepandaiannya dalam menangkap ikan amatlah luar biasa.

Pak Sukun tidak menggunakan jala lagi. Dia menyuruh memerangnya sahaja menangkap ikan.

Pak Sukun menjadi malas dan tinggal di rumah sahaja.

Tidak berapa lama kemudian, Pak Sukun tidak puas hati dengan memerangnya. Memerang itu tidak lagi berjaya menangkap banyak ikan.

Pak Sukun memukul memerang dengan sebatang kayu.

Memerang cedera teruk di badan tetapi ia tetap setia kepada Pak Sukun. Setelah tiga hari berturut-turut memerang itu gagal membawa pulang ikan, Pak Sukun semakin berang.Dia memukul memerangnya hingga mati.

Kerana tiada berwang, Pak Sukun pergi menjala ikan di Lubuk Sena. Dia berasa sungguh hampa kerana lubuk itu tenang sahaja. Tiada lagi ikan bermain di permukaan air yang jernih. Tahulah Pak Sukun bahawa lubuk itu sudah tiada ikan lagi.

Maka hidup Pak Sukun pun dirundung malang. Dia sentiasa berdukacita. Dia menyesal tidak sudah. Demikianlah balasan orang yang hidup tidak mengenang jasa makhluk lain.

Saturday, August 3, 2013

Peristiwa Lubuk Jong

Di sebuah kampung kecil tinggallah keluarga Pak Buntal yang miskin. Pak Buntal hidup bersama isterinya, Mak Buntal. Mereka mempunyai seorang anak lelaki. Namanya Awang Buntal.

Ada juga orang kampung yang memanggil Awang Buntal sebagai Awang Butar. Setelah dewasa, Awang Buntal pergi mengembara ke luar kampung. Awang Buntal sangat berhajat untuk menjadi orang kaya.

Dengan perahu kecilAwang Buntal menghilir menuju ke arah Sungai Kelantan. Awang Buntal ingin berniaga. Daripada berniaga secara kecil-kecilan, akhirnya Awang Buntal menjadi saudagar yang terkenal.

Pada suatu hari, Awang Buntal pulang ke kampungnya.

Mendengar Awang Buntal pulang dan berlabuh di kampungnya, Pak Buntal dan Mak Buntal pun berasa gembira. Mereka membawa segenggam nasi semangat, apam dan semangkuk bertih beras untuk Awang Buntal.

Alangkah kecewanya mereka apabila kedatangan mereka tidak diterima oleh Awang Buntal. Awang Buntal berasa malu kepada tiga orang isterinya kerana keadaan ibu bapanya yang hodoh.Dia terus menghalau Pak Buntal da Mak Buntal.

Oleh kerana terlalu marah, Awang Buntal menolak Pak Buntal dan Mak Buntal ke tebing sungai. Nasi semangat dan bertih goreng bertaburan ke dalam sungai. Awang Buntal pun memerintahkan awak-awaknya melayarkan jongnya ke tempat lain.

Pada saat itu juga, angin ribut datang menerpa. Kilat sabung-menyabung. Sekelip mata, jong Awang Buntal terbakar lalu tenggelam.Maka tenggelam jugalah Awang Buntal berserta isteri-isterin dan awak-awaknya sekali. Sejak itulah lubuk itu dinamakan Lubuk Jong.

Monday, July 29, 2013

Puteri Naga Menjadi Pulau

Kononnya di dalam Laut Cina Selatan, ada beberapa ekor naga. Antaranya ialah Puteri Naga dan suaminya. Mereka baru sahaja berkahwin.

Pada suatu hari, Puteri Naga berkata kepada suaminya: "Kakanda, marilah kita pergi bersiar-siar."


"Ke mana?" tanya suaminya.

"Ke laut sebelah selatan,"jawab Puteri Naga.

Suaminya setuju. Mereka pun berenag-renang dengan gembira. Mereka berenang menuju ke selatan. Tiba-tiba Puteri Naga teringat sesuatu. Dia pun berkata kepada suaminya : "Kakanda, selendang pengantin kita tertinggal. Apa yang perlu kita buat?"

Suami Puteri Naga terdiam. Dia lihat tubuh isterinya. Selendang pengantin itu tiada.

"Adinda hendak berpatah balik. Adinda hendak ambil semula selendang itu. Kakanda tunggu di sini hingga adinda datang semula," pinta Puteri Naga.

Suami Puteri Naga setuju dengan cadangan itu. Ia pun berkata : "Baiklah, kakanda tunggu di sini tetapi jangan lama-lama."

Puteri Naga berenang semula ke utara. Ia berenang dengan laju. Ia tidak mahu suaminya menunggu lama. Setelah sampai ia pun menyambar selndang itu. Kemudian ia berenang semula ke selatan. Tidak lama kemudian, ia pun sampai. Alangkah terkejutnya ia. Suaminya sudah tiada di situ.

"Ke manakah suamiku? Mengapakah dia tinggalkan aku?" kata Puteri Naga.

Namun begitu, Puteri Naga tidak berputus asa. Ia berenang ke sana sini mencari suaminya. Setelah puas mencari-cari, suaminya masih tiada. Puteri Naga berasa penat dan sedih.Ia pun mendiamkan  diri. Air matanya mengalir.

"Suamiku mungkir janji. Tetapi aku akan tunggu di sini sampai bila-bila," katanya dengan hampa. Dia mendakap selendang pengantinnya.

Setelah beberapa lama di situ, Puteri Naga berubah menjadi pulau. Tubuhnya yang hijau menajdi pohon-pohon-pohon dan hutan. Di dalam hutan itu pula ada seekor burung tiom.

Suaranya amat nyaring. Ia sering menyanyi-nyanyi. Ia menyayikan lagu kisah sedih Puteri Naga itu. Tujuannya supaya orang sentiasa ingat akan kisah itu. Akhirnya pulau itu dinamakan Tioman. Bentuknya seperti seekor naga tidur.

Saturday, July 27, 2013

Gagak dan Bangau

Dahulu burung gagak bersahabat baik dengan burung bangau. Kedua-duanya selalu mencari makan bersama.Mereka terbang ke danau yang jernih airnya. Mereka hinggap di kawasan hutan yang subur menghijau. Kadang-kadang mereka juga mencari makan di kawasan bukit.

Pada waktu itu, bulu bangau tidak putih sebagaimana sekarang. Bulunya hitam legam dan tidak menarik.Sebaliknya bulu gagak putih berkilat. Pada suatu hari, bangau bertanya kepada gagak tentang rahsia bulunya yang cantik itu.

"Kita telah lama bersahabat. Patutlah engkau memberitahu aku rahsia kecantikan bulu engkau," kata bangau. "Bolehkah bulu aku yang hitam ini bertukar menjadi putih seperti engkau?" tanya bangau lagi.

"Aku boleh beritahu tentang rahsia bulu aku. Tetapi engkau mestilah berjanji supaya tidak memberitahu sesiapa pun," kata gagak.

Setelah berteguh-teguh janji, gagak pun memberitahu rahsia kecantikan bulunya.

"Apabila selesai menggunakannya nanti hendaklah engkau pulangkan kepada aku," kata gagak.

Bangau bersetuju dengan syarat gagak itu.

Benarlah sebagaimana yang dikatakan oleh gagak. Bangau dengan hati-hati mencampurkan warna yang diberikan oleh gagak. Kemudian ia menyiramkan warna campuran itu kepada bulunya. Dengan sekelip mata warna bulu bangau menjadi putih perak berkilat.

Bangau sangat gembira melihat bulunya yang cantik. Padanya, ialah burung yang tercantik di dunia. Terfikir pula ia di dalam hati bahawa kaum bangau mestilah menjadi burung yang tercantik. Bangau juga berfikir bahawa kaumnya mestilah merupakan burung yang putih sekali dalam dunia.

Ia lupa kepada janji dan budi baik gagak terhadapnya.Apabila sampai masa memulangkan warna itu kepada gagak, ia sengaja buat-buat lupa.

"Engkau mesti pulangkan kepada aku campuran warna itu," kata gagak.

Bangau pulang ke sarangnya. Ia mencampurkan warna itu hingga menjadi hitam legam. Setelah siap campuran warna itu, bangau pun pergi mencari gagak.

"Manakah warna yang kita janjikan itu?" tanya gagak kepada bangau.

Dengan serta-merta bangau mengambil warna campuran warna hitam yang dibawanya. Ia menyiramkan warna itu ke badan gagak. Apalagi, bulu gagakyang putih itu bertukar menjadi hitam legam.

"Mengapakah engaku lakukan ini?" tanya gagak. Ia amat marah.

"Aku mahu menjadi burung tercantik di dunia. Aku tidak mahu ditandingi oleh mana-mana burung, termasuk kamu."kata bangau.

Gagak sangat marah apabila mendengar kata-kata itu. Ia segera mengejar bangau yang hendak melarikan diri.

Sejak itulah bulu gagak hitam legam dan tidak cantik. Sebaliknya bulu bangau putih berkilat dan cantik. Sejak hari itu juga gagak sentiasa memusuhi bangau. Kedua-duanya tidak boleh bertemu, tentu bangau dan gagak akan berkelahi.

Tujuh Saudara Selamatkan Kampung

Pada zaman dahulu, ada seekor ular yan
g sangat besar diam di sebatang alur. Ular itu sentiasa menyusur dari hulu ke kuala. Hampir setiap purnama, seorang penduduk yang tinggal di tepi sungai mati dibelit oleh ular itu.

Penduduk kampung memanggil ular itu 'ular bidur'. Apabila hujan panas, ular itu akan berbunyi macam geruh lembu. Lalu penduduk menamakannya 'ular lembu'.

Dengan takdir Allah, datanglah tujuh orang lelaki berbangsa Siam ke kampung itu.

"Kami bertujuh datang hendak menolong tuan-tuan. Kami sudah mendengar khabar bencana yang menimpa kampung tuan-tuan," kata abang yag tua.

Tujuan mereka itu disambut dengan baik oleh sekalian penduduk.

Esoknya, mereka mencari ular ganas itu. Apabila terlihat sahaja di permukaan air, mereka terus terjun hendak menangkapnya. Malangnya, ular itu sangat bisa. Enam daripada mereka jatuh pengsan.

"Pada hambalah sekarang," kata adik yang bongsu. Mukanya merah padam kerana marah kepada ular itu. Dia menyusur perjalanan ular itu hingga masuk ke dalam baruh padi. Dia memasang jerat pada muka batas sawah itu.

Dengan bantuan orang kampung, ular ganas itu masuk perangkap yang dibuat oleh adik bongsu. Ular itu dipukul oleh sekalian penduduk. Akhirnya ular itu mati.

Beberapa hari kemudian, enam saudara yang pengsan itu pulih. Mereka mengambil keputusan untuk menetap di kampung itu.

Saturday, July 13, 2013

Hantu Bota

Pada zaman dahulu, ada seekor binatang yang sungguh besar. Penduduk kampung memanggilnya Hantu Bota.

Hantu Bota mempunyai kaki yang panjang lagi besar. Apabila Hantu Bota berdiri, ia akan mengangkangkan kakinya. Sebelah kakinya diletakkan di tebing kiri sungai. Sebelah lagi kakinya diletakkan di tebing kanan sungai.

Ekor Hantu Bota panjang sampai ke hulu sungai.

Pada suatu hari, Hantu Bota jatuh sakit. Orang yang tinggal di sepanjang sungai terkejut dengan berita itu.

Penyakit Hantu Bota semakin tenat. Dari hari ke hari, badannya semakin lemah. Ia tidak berdaya lagi untuk bergerak. Kakinya terkedang di dua bahagian sungai itu.

Akhirnya Hantu Bota pun mati. Selepas itu, kedua-dua tebing sungai itu dinamakan orang Bota Kanan dan Bota Kiri. Bota Kanan sempena kaki kanan Hantu Bota yang terletak di tebingnya. Sementara di tebing kiri diberikan nama Bota Kiri.

Tempat di mana ekor Hantu Bota itu tercecah d
iberikan mana Ekor Bota. Ekor Bota ialah sebuah perkampungan yang terletak di dalam kawasan Bota Kiri.

Sehingga hari ini, ketiga-tiga tempat sempena kisah Hantu Bota itu masih wujud.Kampung-kampung ini terletak di tebing Sungai Perak.

Saturday, June 1, 2013

Belatuk Terbang Tinggi Rendah

Pada zaman dahulu, Raja Sulaiman dikatakan mempunyai sebuah kerajaan yang sangat besar. Semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah pemerintahan Raja Sulaiman.

Pada waktu itu, burung belatuk ialah utusan Raja Sulaiman. Apa sahaja y
ang hendak disampaikan oleh Raja Sulaiman kepada pihak lain, belatuklah yang melaksanakannya.

Belatuk sangat mahir tentang ceruk rantau di dunia.Ke mana sahaja dititahkan pergi, dapat sahaja ia menunaikannya.

Pada suatu hari, belatuk dititahkan oleh Raja Sulaiman untuk membawa sepucuk surat kepada suatu pihak. Isi surat itu sangat penting. Jika surat itu jatuh ke tangan musuh, Raja Sulaiman dan kerajaannya akan berada dalam bahaya.

Negeri yang akan dituju oleh belatuk sangat jauh. Belatuk terpaksa melalui hutan belantara serta lautan. Akhirnya terbanglah belatuk ke negeri yang ditujuinya. Mulanya belatuk terpaksa menyeberangi sebuah lautan luas. Ia tidak berani terbang tinggi kerana takut akan ribut taufan yang kuat.

Maka ia pun terbang di permukaan laut.Laut berombak mengalun-alun. Belatuk terbang mengikut gaya alunan ombak laut. Sekali rendah, sekali tinggi.

Selepas menyeberangi lautan luas, ia terpaksa melalui hutan rimba yang luas. Belatuk tahu di hutan itu ada penjahat yang sangat mahir memanah.

Apabila belatuk melalui hutan itu, penjahat melihat ia membawa sepucuk surat di paruhnya. Apalagi, sekalian penjahat pun memanah. Mereka ingin tahu rahsia yang terdapat dalam surat itu. Maka, belatuk pun terbanglah berombak-ombak sebagaimana ia terbang di permukaan laut.

Akhirnya belatuk selamat menyampaikan surat kepada pihak yang ditujukan itu. Setelah selesai semuanya, belatuk pulang menghadap Raja Sulaiman.

Raja Sulaiman bertanya kepada belatuk bagaimana ia terlepas daripada ancaman taufan dan pemanah yang handal itu. Belatuk pun menceritakan segala yang dialaminya. Raja Sulaiman sangat gembira mendengar sembah belatuk. Itulah sebabnya sehingga sekarang ini, burung belatuk sentiasa terbang tinggi rendah bagaikan gelombang ombak di laut.