Monday, November 5, 2012

Wow, Wau


Permainan wau, juga dikenali dengan nama permainan layang-layang merupakan satu aktiviti menerbangkan objek tersebut di udara. Perkataan ‘wau’ dikatakan berasal daripada kerajaan Melayu Pattani (Thailand) memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut.

Perkataan layang-layang pula digunakan dikebanyakan negeri seperti di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja.

Dah macam masuk kelas sejarah kita hari ni, ye. Tapi itu bagus untuk menambah ilmu pengetahuan. Lagipun setiap peristiwa atau benda yang dicipta ada sejarahnya.Main wau ni tak semua orang pernah rasa macam permainan video. Setakat tengok tu biasa la, tapi pernah tak merasai feel menerbangkannya?
Seingat aku, wau pertama yang aku pernah main adalah wau kertas yang dibuat sendiri dengan kertas lukisan. Aku panggil ‘Wau Tong’. Tapi wau ni tak mencabar pun nak main. Talinya pun aku pakai benang jahit baju mak aku je. Memang kena gelak dengan penduduk kampung je kalau main di padang pada waktu petang.

Jadi nak dapatkan wau yang real kenalah minta bantuan atuk aku yang pakar dalam profesion membuat wau. Kena pula hari tu mood atuk tengah baik pasal team bolanya menang semalam.
Perkara asas nak buat wau adalah kena cari buluh untuk dibuat rangkanya. Buluh tu pula tak boleh muda atau tua sangat. Senang cerita cari buluh yang belia remaja supaya tidak mudah patah. Kalau kat kampung memang bersepah pokok buluh ni. Tak payah susah-susah, niat  je nak cari dah terjumpa depan mata.

Wau yang atuk nak buat ni namanya ‘Wau Bulan’. Glamer tau wau ni, sampai jadi simbol kat ekor kapal terbang MAS. Nak buatnya bukan semudah rendam mi segera dalam mangkuk tau. Perlu kemahiran dan kesabaran.

Buluh tadi akan diraut halus dan bahagian sayap akan ditimbang dengan jari supaya seimbang kiri dan kanannya. Bahagian inilah yang paling penting supaya wau tu nanti tak berat sebelah. Kalau tidak, jawabnya tersungkur ke bumi la.

Seterusnya bahagian tulang belakang dan ekor pula diraut untuk melengkapkan rangkanya. Semua bahagian ini akan diikat kemas deangan benang atau tali. Rangka yang sudah siap seterusnya akan digam dengan kertas berwarna.

Kat sini la kreativiti pembuat wau diperlukan untuk membezakan wau kita dengan yang lain. Kita boleh lukis dan reka corak kita sendiri. Nak buat corak batik ke, corak kain pelikat ke atau corak bunga teratai layu di tasik madu ke, suka hati la.

Sekarang wau aku dah siap. Cantik sungguh atuk buat. Terima kasih atuk. Jadi, tiba la masanya nak naikkannya pula. Kitorang pun pergi ke padang dekat rumah atuk. Waktu petang memang ramai orang main wau kat situ. Kena pulak musim angin monsun bertiup kencang ni.

Nak main wau ni kena cari kawasan lapang. Kalau tak, ada la yang menangis air mata darah tengok wau cantik-cantik tersangkut kat pokok kelapa atau tiang elektrik.

Menaikkan wau mestilah dalam keadaan yang bertentangan dengan arah tiupan angin dan wau mestilah dalam keadaan menegak. Alhamdulillah, wau aku naik dengan bergaya. Macam burung rajawali terbang megah di angkasa!

Musim orang main wau ni dah rasa macam pesta. Macam-macam jenis wau ada. Wau siapa yang terbang paling tinggi dia la yang terbaik. Wau aku memang tak mengecewakan. Memandangkan angin pun baik, Maghrib pun dah sampai, atuk suruh tinggalkan je kat situ. Besok pagi la turunkan. Boleh ke? Tapi selalu juga orang buat. Jadi la Wau Bulan terbang malam.

Wau yang halus buatannya, cantik dan terbang dengan baik tidak ada maknanya jika tali yang digunakan tidak begitu baik. Itulah yang terjadi kepada wau aku. Besoknya bila aku pergi ke padang, wau aku dah tak ada. Tinggal tali yang dah putus terikat ditambatannya.

Itulah wau pertama dan terakhir aku pernah ada. Entah ke mana la diterbangkan angin. Mungkin dah sampai negara Brazil kot?

+Permainan tradisi memang menyeronokkan. Kalau tidak kita sendiri yang mengekalkannya, nak harapkan siapa agaknya?

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

No comments:

Post a Comment