Thursday, November 29, 2012

Rasulullah SAW Sayang Kepada Haiwan

Gambar sekadar hiasan.Pada suatu hari, Rasulullah SAW melalui sebuah kebun kepunyaan seorang Ansar. Di dalam kebun itu, Rasulullah SAW terlihat seekor unta yang sedang mengerang kesakitan sehingga mengeluarkan air mata. Lalu, Rasulullah SAW mendekati dan mengusapkan tangannya ke atas belakang unta itu. Tidak berapa lama kemudian, datanglah seorang pemuda Ansar iaitu pemilik unta tersebut. Pemuda itu berkata: " Unta itu adalah milikku, wahai Rasulullah."

Rasulullah SAW bertanya: "Adakah kamu tidak takut kepada Allah yang telah memberimu unta ini? Sesungguhnya unta ini telah mengadu kepadaku bahawa engkau telah membiarkannya kelaparan dan  memaksanya melakukan pekerjaan yang berat."

Dalam suatu kisah yang lain pula, Rasulullah SAW melihat beberapa orang sahabat sedang membakar sarang semut. Lalu Rasulullah SAW bertanya: "Siapakah yang membakar ini?" Maka para sahabat pun mengaku bahawa merekalah yang membakarnya. Lalu, Rasulullah SAW berkata: "Yang layak menyeksa dengan api hanyalah Tuhan kepada api (iaitu Allah) sahaja."

Rasulullah SAW juga sering menasihati sahabat-sahabat baginda agar sentiasa berhati-hati semasa mencukur bulu biri-biri agar jangan sampai menyakiti atau melukai tubuh haiwan tersebut. Rasulullah SAW tidak melarang kita memancing ikan atau berburu binatang, tetapi Rasulullah SAW melarang kita berburu untuk tujuan suka-suka dan bukannya untuk dimakan. Rasulullah SAW pernah menasihati para sahabatnya:             "Sesiapa yang membunuh seekor burung secara sia-sia (Bukan untuk dimakan), burung itu akan datang kepada Allah pada hari kiamat dan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya orang ini telah membunuhku secara sia-sia dan dia tidak membunuhku untuk mengambil manfaat dariku."

Cerita-cerita di atas menggambarkan betapa halusnya perasaan kasih dan sayang Rasulullah SAW terhadap haiwan. Rasulullah SAW telah membawa rahmat kepada seluruh makhluk di dunia ini. Ajarannya tidak hanya melindungi hak-hak manusia sahaja, tetapi juga melindungi hak-hak haiwan yang juga dicipta oleh Allah Yang Maha Besar.

Wednesday, November 14, 2012

'Ayam Jepun'

Dulu-dulu kalau cuti sekolah biasaya aku balik rumah atuk. Seronok, maklumlah suasana kampung. Segar je. Cuma ada satu perkara yang buat aku fobia kat rumah atuk, ni nak cerita ni...

Atuk ada pelihara banyak haiwan ternakan. Tapi dalam banyak-banyak tu, ada seekor ayam ni cukup tak suka dengan aku. Aku tak tau la ayam ni dari spesis mana tapi aku panggil  'ayam jepun' sebab ia ganas yang amat. Macam Jepun masa kat Malaya dulu-dulu... Ayam ni suka sangat kejar aku sambil cuba nak patuk aku. Walaupun aku tak kacau dia pun.

Rumah atuk ni tandasnya kat luar, jadi kalau nak buang air tu kena la ambil satu baldi air dan kena jalan sikit.Tiap kali nak buang air tiap kali tu lah adegan kejar-mengejar aku dengan ayam ni berlaku. Kekadang ayam ni nyorok kat mana-mana. Elok je aku jejak kaki kat tanah, ntah dari mana laju je datang meluru kat aku.. Dan begitu jugaklah bila dah selesai lepas hajat. Yang tak tahan tu, ayam ni sanggup dok tunggu depan tandas tunggu aku keluar. Dengki betul.

Bukan setakat tu je kekadang bila nak keluar bermain petang-petang pun aku tak boleh. Ayam ni dok tunggu je peluang nak kenakan aku. Apa dosa aku kat dia pun aku tak tahu la.. Nak kata aku pernah kacau gilrfriend dia takde la pulak.

Ayam ni tak pulak nak kacau orang lain, mungkin dia tengok badan aku ni tak berapa besar. Tu yang dia tunjuk berani tu. Aku ni pulak jenis tak berapa suka dengan benda-benda hidup. Tu yang aku takut sangat tu. Tekanan jiwa aku dibuatnya. Macam ada konflik peribadi pulak aku dengan ayam ni.

Permusuhan aku dengan ayam atuk ni berlanjutan dalam bertahun jugak sehingga la pada suatu hari atuk terperasan ayam tu dah tak secergas dulu lagi. Selalu sakit-sakit. Penyakit ayam. Tak tau la pulak aku sak
it apa. Mungkin penat kot selalu kejar aku.

Jadi satu hari, sebelum ayam tu mati dengan sia-sia, atuk pun sembelih la ayam tu buat lauk. Atuk cakap ayam kampung ni sedap kalau digoreng, dagingnya pejal. Malam tu satu famili la makan nasi lauk ayam goreng. Tapi walaupun aku benci ayam tu kerana selalu kacau hidup aku, tapi aku tak sanggup nak makan daging musuh aku sendiri. Aku tak tau pasal apa, tapi aku tak sampai hati.

Walaupun selepas tu aku dah bebas nak main kat luar rumah, tapi aku rasa ada sesuatu yang hilang.. Em..

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Sunday, November 11, 2012

Hari pertama sekolahku


Bangun dari tidur aku layan sejuk pagi dulu. Macam ada irama lagu kanak-kanak riang dok main dalam kepala aku ni. Ishk.! Sejuknya pagi ni. Kalau layan sambung tidur pun best ni. Tiba-tiba terdengar suara mak menjerit dari arah dapur suruh aku mandi. Laa.. Hari ni rupanya aku dah mula sekolah. Dah tahun satu rupanya aku ni.

Selesai mandi, aku tengok baju sekolah dah siap mak aku ‘iron’ kan. Ni baju ‘recycle’ dari abang aku tahun lepas. Dia dah tak muat. Dah rendam dengan ‘clorox’ dan kanji nampak baru la baju ni.

Mak sediakan bekal nasi goreng, pastu bagi pulak duit belanja seringgit, takut aku tak cukup kenyang. Masa keluar rumah, terserempak pula dengan atuk. Atuk bagi seringgit lagi, dapat la dua ringgit hari ni. Mewah aku, boleh kumpul buat beli buku komik ni.

Pergi sekolah aku tumpang abang ngah aku naik basikal choppernya. Masam semacam je muka dia. Mesti pasal kena tumpangkan aku la ni. Selalunya lepas balik sekolah abang melencong ke tempat lain. Kali ni kena hantar aku dulu. Biasa la, jadi abang kena la ada tanggungjawab.

Ni budak kelas aku. Orang lain datang sekolah bawak buku, dia datang bawak mainan. Ni mesti kes tak boleh berpisah dengan aktiviti harian kat rumah ni. ‘Come on’ la, kita dah besar, mainan ni baby-baby kiut je layan.

Bila cikgu kelas masuk, semua diam. Takut betul budak-budak ni. Maklum la hari pertama. Yang cikgu ni pun satu , aku tengok cikgu-cikgu sekolah ni semua muka garang-garang. Ada masalah peribadi ke? Salah cara ni. Patutnya cikgu kena la lemah lembut, penyayang dan manis muka. Baru la budak seronok nak belajar dan takde la kes ponteng sekolah.

Aku kat sekolah jenis penyegan. Kalau takde orang tegur nak berkawan, aku diam je la. Tapi dalam ramai-ramai tu sorang budak perempuan ni berani tegur aku. Siti namanya. Jadi dialah kawan pertama aku kat sekolah. Sebagai meraikan persahabatan, hari ni aku belanja Siti aiskrim.

Tengah syok makan aiskrim datang tiga orang pelajar senior nak ‘pau’ duit aku. Aku dah nak nangis dah. Badan besar-besar tu. Tanpa aku sangka Siti perambat diorang dengan penyapu. Tak sangka aku Siti yang comot ni berani orangnya.

Balik rumah mak bising kat aku, baju sekolah kotor sangat. Baru sehari pakai. Pastu mak lagi bising bila buku latihan dah buat jadi diari.

Tak kisah la. Cuma aku tak sabar nak gi sekolah lagi besok. Lagipun aku dah ada orang yang jaga.

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Terima Kasih Cikgu

Ini adalah kisah tiga sekawan yang suka bikin panas.Di Sekolah Kebangsaan Sungai Siput siapa yang tak kenal dengan Pyan, Ipan dan Juki, pelajar dengan ranking paling tinggi masalah disiplinnya. Diorang bertiga sahajalah yang selalu bertukar tempat teratas setiap minggu. Rotan dan pembaris besi umpama barang mainan mereka dan bilik disiplin pula umpama shopping copmlex bagi mereka.

Di sekolah, mana-mana pelajar yang buat masalah dengan mereka pasti ada ganjaran yang menanti. Jangan salahkan 'Ah Long' Bukit Beruntung kalau ada kes peras ugut. Itu semua kerja mereka. Belum kira lagi kes makanan kat kantin lesap, kes tayar basikal tercabut, kes cangkul tukang kebun hilang dan banyak lagi.

Dalam kelas, biasa la tempat duduk mereka adalah barisan paling belakang sekali. Lagi belakang lagi nampak brutal. Dah jadi zon selamat mereka. Tak berani orang lain nak dekat. Hobi mereka kacau budak perempuan (yang cantik sahaja), tak buat kerja sekolah, meniru suara binatang, bermain robot waktu sekolah dan membuat silap mata dengan menghilangkan diri sendiri di waktu kelas.

Sehingga la pada suatu hari tahap kenakalan mereka ini tak dapat dibendung lagi oleh guru kelas mereka. Mereka bertiga dipanggil mengahadap dan hari tu keluarlah sesuatu amaran dan kata-kata pedas dari cikgu mereka. Memang nyata bukan kata-kata pujian, cukup berbisa, tak tergamak nak ditulis di sini.

Mereka tidak sangka cikgu sanggup cakap mereka sebegitu rupa. Kata-kata cikgu itu cukup menghiris kalbu dan menusuk ke sanubari mereka. Luka di tangan boleh dilihat, luka di hati siapa yang tahu. Sejak hari tu mereka bertiga berubah menjadi pendiam, menyendiri dan tidak suka bergaul. Dalam hati mereka seperti ada menyimpan perasaan dendam kesumat de
ngan cikgu mereka. Macam ada sesuatu yang harus dibalas dan dibuktikan.

Juki lebih suka menonton cerita-cerita sedih melankolik seperti 'Sembilu 8', 'Nur Kasih' dan iklan 'Budi Bahasa Budaya KIta'.Pyan mula gemar membaca novel Ana Solehah terutama Novel Debaran Di Hati Ana. Manakala Ipan sekarang ni rajin menolong ibunya membasuh kain baju.

Hari berganti minggu, bulan berganti tahun, semuanya berlalu tanpa disedari. Alam persekolahan sudah berlalu, bidang kerjaya pula la yang kena tempoh. Macam tu la dengan mereka juga. Juki kini ialah seorang pensyarah universiti, Ipan ada 'bisnes' sendiri dan Pyan pula orang kanan menteri. Masing-masing nampaknya berjaya dalam hidup, tidak seperti waktu sekolah dulu yang merudum.

Dan suatu hari mereka bertiga bertemu kembali dan berpakat untuk berjumpa semula dengan cikgu yang pernah menyakitkan hati mereka dahulu. Bukan untuk membalas dendam atau untuk berlagak dengan kedudukan mereka sekarang. Cuma untuk ucapan TERIMA KASIH CIKGU atas jasamu.

+Seee...lamat pagi cikgu....!


CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Monday, November 5, 2012

Misteri Buku Latihan Amirul


Pagi tu lepas je solat Subuh saya dah bergerak sorang-sorang pergi ke sekolah. Malas nak tunggu kawan-kawan yang lain. Saya rasa  bersemangat maklum la kerja sekolah yang cikgu bagi semalam semuanya saya dah siapkan.

Saya menaiki basikal ke sekolah setiap hari. Diiringi alunan ‘vocal’ saya yang semakin mantap, saya meneruskan kayuhan. Tiba-tiba perjalanan saya terganggu. Seorang murid perempuan menahan saya. Nampak macam ada masalah.

Rupanya dia pun dalam perjalanan ke sekolah yang sama cuma tadi masa berjalan dia terjatuh dan kakinya terseliuh.Oleh kerana saya sudah dididik dengan sifat-sifat yang murni lagi pekerti, dengan rela hati saya menumpangkan murid tu. Ala dah satu sekolah apa salahnya.

Dalam perjalanan, murid tu tak bercakap, dok diam je. Sama ada dia malu atau teruja dapat naik basikal saya, tak tau la. Lidah saya pun jadi kelu untuk berkata-kata.

Tiba-tiba budak permpuan tu bersuara dan dengan tiba-tiba juga saya rasa kayuhan saya menjadi begitu berat sekali. Terasa satu bebanan seberat seekor anak gajah yang saya bawa di belakang. Semakin lama semakin berat sehingga la saya tidak terdaya lagi. Dan apabila saya menoleh ke belakang satu lembaga yang menakutkan berada di belakang saya.

Tak cukup tayar saya lari.Rupa-rupanya  saya hanya mimpi di dalam kelas semasa cikgu mengajar.

+Siapkanlah setiap tugasan yang diberi oleh guru.

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Wow, Wau


Permainan wau, juga dikenali dengan nama permainan layang-layang merupakan satu aktiviti menerbangkan objek tersebut di udara. Perkataan ‘wau’ dikatakan berasal daripada kerajaan Melayu Pattani (Thailand) memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut.

Perkataan layang-layang pula digunakan dikebanyakan negeri seperti di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja.

Dah macam masuk kelas sejarah kita hari ni, ye. Tapi itu bagus untuk menambah ilmu pengetahuan. Lagipun setiap peristiwa atau benda yang dicipta ada sejarahnya.Main wau ni tak semua orang pernah rasa macam permainan video. Setakat tengok tu biasa la, tapi pernah tak merasai feel menerbangkannya?
Seingat aku, wau pertama yang aku pernah main adalah wau kertas yang dibuat sendiri dengan kertas lukisan. Aku panggil ‘Wau Tong’. Tapi wau ni tak mencabar pun nak main. Talinya pun aku pakai benang jahit baju mak aku je. Memang kena gelak dengan penduduk kampung je kalau main di padang pada waktu petang.

Jadi nak dapatkan wau yang real kenalah minta bantuan atuk aku yang pakar dalam profesion membuat wau. Kena pula hari tu mood atuk tengah baik pasal team bolanya menang semalam.
Perkara asas nak buat wau adalah kena cari buluh untuk dibuat rangkanya. Buluh tu pula tak boleh muda atau tua sangat. Senang cerita cari buluh yang belia remaja supaya tidak mudah patah. Kalau kat kampung memang bersepah pokok buluh ni. Tak payah susah-susah, niat  je nak cari dah terjumpa depan mata.

Wau yang atuk nak buat ni namanya ‘Wau Bulan’. Glamer tau wau ni, sampai jadi simbol kat ekor kapal terbang MAS. Nak buatnya bukan semudah rendam mi segera dalam mangkuk tau. Perlu kemahiran dan kesabaran.

Buluh tadi akan diraut halus dan bahagian sayap akan ditimbang dengan jari supaya seimbang kiri dan kanannya. Bahagian inilah yang paling penting supaya wau tu nanti tak berat sebelah. Kalau tidak, jawabnya tersungkur ke bumi la.

Seterusnya bahagian tulang belakang dan ekor pula diraut untuk melengkapkan rangkanya. Semua bahagian ini akan diikat kemas deangan benang atau tali. Rangka yang sudah siap seterusnya akan digam dengan kertas berwarna.

Kat sini la kreativiti pembuat wau diperlukan untuk membezakan wau kita dengan yang lain. Kita boleh lukis dan reka corak kita sendiri. Nak buat corak batik ke, corak kain pelikat ke atau corak bunga teratai layu di tasik madu ke, suka hati la.

Sekarang wau aku dah siap. Cantik sungguh atuk buat. Terima kasih atuk. Jadi, tiba la masanya nak naikkannya pula. Kitorang pun pergi ke padang dekat rumah atuk. Waktu petang memang ramai orang main wau kat situ. Kena pulak musim angin monsun bertiup kencang ni.

Nak main wau ni kena cari kawasan lapang. Kalau tak, ada la yang menangis air mata darah tengok wau cantik-cantik tersangkut kat pokok kelapa atau tiang elektrik.

Menaikkan wau mestilah dalam keadaan yang bertentangan dengan arah tiupan angin dan wau mestilah dalam keadaan menegak. Alhamdulillah, wau aku naik dengan bergaya. Macam burung rajawali terbang megah di angkasa!

Musim orang main wau ni dah rasa macam pesta. Macam-macam jenis wau ada. Wau siapa yang terbang paling tinggi dia la yang terbaik. Wau aku memang tak mengecewakan. Memandangkan angin pun baik, Maghrib pun dah sampai, atuk suruh tinggalkan je kat situ. Besok pagi la turunkan. Boleh ke? Tapi selalu juga orang buat. Jadi la Wau Bulan terbang malam.

Wau yang halus buatannya, cantik dan terbang dengan baik tidak ada maknanya jika tali yang digunakan tidak begitu baik. Itulah yang terjadi kepada wau aku. Besoknya bila aku pergi ke padang, wau aku dah tak ada. Tinggal tali yang dah putus terikat ditambatannya.

Itulah wau pertama dan terakhir aku pernah ada. Entah ke mana la diterbangkan angin. Mungkin dah sampai negara Brazil kot?

+Permainan tradisi memang menyeronokkan. Kalau tidak kita sendiri yang mengekalkannya, nak harapkan siapa agaknya?

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Duit Rayaku


Apa yang paling best bagi budak-budak bila nak raya? Selain baju dan kasut baru, sudah pastinya dapat duit raya. Sampai menghitung hari la tunggu nak raya. Kenapa duit raya? Kerana budak-budak pun tahu, dengan adanya duit, kita boleh beli apa saja. Itulah betapa besarnya kuasa duit. Mari aku nak cerita dari mana datangnya duit raya yang aku dapat.

Bangun pagi, dah bersiap pakai baju raya, pertama sekali kena la salam mintak maaf kat mak dan abah. Masa ni kena la buat muka insaf sikit sambil jeling-jeling kat saku baju abah. Ada budget duit raya tak? Aku tak mengharap banyak sangat mak atau abah nak bagi. Dah cukup la dapat baju baru dua tiga helai ni. Dapat makan free hari-hari lagi. Apalagi yang nak? Bersyukur aje la. 

Balik dari sembahyang raya aku terus ke rumah nenek. Biasanya nenek tak kedekut bagi duit raya kat cucu-cucunya. Tambah pulak aku ni cucu nenek yang paling ‘kamcing’ dengan nenek dan yang paling comel (nenek yang cakap, bukan aku). Nenek ni nampak je hidup sederhana tapi ada tanah berekar-ekar, rumah sewa berderet-deret. Dah berkali-kali dah naik haji. Setakat duit raya kaler ungu tu sambil jeling je nenek bagi. Kena diam-diam ni. Kalau mak tau nanti mak mintak persen.

Hari raya ni semua saudara mara pakat-pakat balik kampung. Adik beradik abah ada 10 orang. Adik beradik mak ada 11 orang. Semuanya dah kerja. Ada pak long, mak long, pak teh, mak ngah, pak su, mak su dan ramai lagi la. Kalau seorang bagi seringgit seorang pun dah berapa tu. Kalau RM100 seorang? Tak ke lumayan tu. Ermm... RM100...dalam mimpi je la.

Kalau nak duit lebih lagi kena la kerja keras sikit. Aku ajak dua tiga orang  sepupu aku, kami beraya pulak kat rumah jiran satu kampung. Setiap satu rumah takde la dapat banyak, dua puluh sen atau lima puluh sen je. Kalau nasib baik dapat la seringgit.

Kalau nak lebih kena la jalan jauh sikit. Tapi cuba bayangkan, kalau satu rumah kami makan tiga biji biskut dan segelas air. Kalau 20 buah rumah dah berapa biji biskut kami makan dan berapa gelen air kami dah minum? Hanya kerana duit raya.

Ada juga kes-kes terpencil yang bila balik rumah buka je sampul raya tengok kosong. Orang yang bagi ni sengaja atau tak sengaja tak dapat dipastikan. Tapi kalau dia sengaja percayalah, dia sudah mengguris hati kanak-kanak di hari raya yang mulia ini.

Bila dikira semua duit raya yang dapat, boleh tahan juga tahun ni. Ekonomi Negara dah pulih ke? Kalau tanya aku apa nak buat dengan duit ni, satu je aku idamkan. Aku nak beli handphone yang ada touch screen dan boleh main game sampai lebam. Tapi haruskah aku habiskan semua duit tu dengan sekelip mata. Selepas penat berpuasa kerana nak kumpul duit raya. Haruskah aku?

+Simpan duit tu kat Tabung Haji. Buat gi Mekah- Pesan nenek.

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM