Tuesday, March 13, 2012

Ayam Madu, Sirap Limau

"Sebuah kisah di bulan Ramadan, diceritakan kembali oleh seorang insan yang sudah insaf."

Bulan Ramadan datang lagi, maknanya tibalah bulan yang menguji kekuatan dan kesabaran kita. Masa tu aku duduk kat asrama. Bila dah jauh dengan mak ayah ni perangai kita pun kadang-kadang "over acting" la sikit.

Hari tu balik dari sekolah, macam biasa aku uji kekuatan iman kawan aku Fakrul. Dan macam biasa, imannya senipis kulit bawang dibelah lagi tiga kali. Baru je aku cerita pasal ayam bapak aku kena langgar lori terus dia ajak aku ponteng puasa. Pantang betul dia bila disebut ayam.

Sampai kat asrama, macam biasa, Kami terus ke bilik kawan-kawan kamcing kami yang lain untuk ambil order. Ini kira nak ponteng puasa secara berkumpulan la ni. Masa ni boleh la buat bisnes sikit. Siapa yang nak order tu kami ambil la duit selebihnya sebagai upah. Kalau sorang lima posen atau seringgit, 10 orang lepas la duit nasi untuk kami berdua.

Kalau nak ponteng puasa ni setakat telan biskut kering dengan air
kosong buat membazir je. Menu kegemaran kami ialah ayam madu dan sirap limau. Baru berbaloi nak ponteng puasa.

Dah selesai ambik order,tugas aku la pulak nak membelinya. Kat mana lagi kalau bukan kedai mamak belakang sekolah tu. Bulan puasa ke Thaipusam ke, mana pernah tutup kedai ni.

Untuk keselamatan, aku pakai topi senang nak cover muka. Mana la tau terserempak dengan bakal mak mentua nanti. Paling penting kena bawak satu beg galas yang dibiarkan kosong. Yela, takkan selamba biri-biri nak bawak dalam beg plastik nak masuk asrama. Nampak kat warden mau kena hukum jadi orang gaji dia, untuk satu semester.

Masuk je kedai mamak mesti pantas, yakin dan fokus pada matlamat asal. Jangan nak layan tengok bola pulak. Dengan muka tak bersalah aku order dan tunggu la sampai siap. Pastu campak je semua pesanan tu masuk dalam beg dan blah. Buat apa nak tunggu lama-lama. Kena serbu dengan pejabat agama karang mau besoknya muka aku kat muka depan surat khabar.

Sampai kat asrama hati ni dah meronta-ronta nak makan. Ayam madu ni, sebelum ni nampak biasa je, tapi bila bulan puasa lain sikit goyangannya. Perut pun dah menyanyi.

Masa nak naik tangga terserempak pulak dengan warden asrama. Dengan muka pelajar pintar,aku bagi salam   dan terus panjat anak tangga.Nanti kalau bersembang lama-lama takut pulak warden terbau ayam madu.

Nampaknya semua dah ok.Misi berjaya. Makanan semua dah bagi kepada si pengirimnya, tunggu nak makan je lagi.Air sirap pun dah tersedia terhidang.Jam menunjukkan pukul satu tengahari.Cantik la ni, kalau makan lewat sangat rasa tak berbaloi pulak nak ponteng puasa. Bila masa berbuka nanti buat-buat la muka letih, mana orang tau.

Baru je suapan yang pertama, tiba-tiba pintu bilik kami diketuk. Masuk suapan kedua pintu dah kena terajang dah. Tergamam kami bila disergah oleh warden asrama.

Mana dia tau aktiviti kami ni? Siapa yang dah pecah lubang ni? Atau mungkin ada antara kami yang update status Facebook 'tengah makan tengahari di bulan Ramadan.Warden terbau ayam madu ke masa terserempak kat bawah tadi?

Rupa-rupanya warden dapat kesan jejak aku.Tanpa aku sedari rupanya sirap limau dalam beg tadi dah bocor. Dan dengan cantiknya titisan sirap tu jatuh ke lantai bermula dari tingkat bawah sampai la ke tingkat empat bilik aku. Tanpa susah-payah, warden ikut je mana air sirap tu menitis dan tau la siapa punya kerja.

Selepas dibicarakan aku didapati bersalah dan aku mendapat hukuman paling berat pasal aku la penganjurnya. Dendanya ialah membasuh toilet asrama, memotong rumput, siram pokok dan mengecat bangunan asrama selama satu semester. Dan berkat keperihatinan aku menjaga asrama, setahun kemudian aku dilantik menjadi ketua asrama. Alhamdulillah.

+sudah terantuk baru tengadah.
                 belajarlah dari kesilapan.



CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM.

Saturday, March 3, 2012

Ram Ram Rambutan

Di belakang rumah aku ada berdiri megah pokok rambutan. Bila aku kira, tak banyak mana pun ada la dalam sepuluh pokok. Tapi bila dah tiba musimnya memang hidup aku mewah dengan rambutan. Masak ranum mewah di atas, melambai-lambai ditiup angin. Tunggu saat je aku nikmati isinya yang lekang bukan dek panas.

Satu masalahnya buah rambutan ni bukannya gugur sendiri macam buah durian. Pokok pula tinggi-tinggi. Aku ni bukannya spesies memanjat,tak retinya. Menjalar atas tanah tau la aku.Biasanya orang kait pakai galah buluh yang diletak sabit hujungnya. Tapi galah ni Ya Rabbi...mengalahkan anak kerbau beratnya. Tak terangkat aku.

Jadi kena la pakai khidmat spesies memanjat. Ni dia, abang aku. Pasal tu la dia poyo dan eksen semacam je. Itu baru tahu panjat pokok, kalau tahu anyam tikar tak tau la macam mane. Satu lagi abang aku ni eksen pasal bila time musim buah dia lah yang jadi anak kepercayaan mak.

Sebelum dapat makan  rambutan ni la kena dera dengan abang dulu. Dia yang makan buahnya dulu. Kami yang kat bawah ni dia bagi kulit je.Dah puas dia makan baru dia ambilkan untuk kami,itu pun buah yang putik. Tak pe la, ini hari dia. Besok hari Jumaat belum tentu hari aku lagi. Entah bila boleh balas dendam ni.

Bila betul-betul musimnya, buah rambutan ni memang tak habis kami nak makan sekeluarga.Jadi mak akan jual kat pasar tani.Masa ni la aku dan kakak akan sibuk pasal paksa rela kena kutip buah rambutan ni. Dah itu je skill yang kami ada. Dah la waktu petang, time rancangan kartun tengah mengganas tu.

Bukan sikit punya kerja nak kutip rambutan ni. Dah tu kena cari dalam semak lagi. Entah terjumpa biawak atau Tyrannosaurus mana tau kan. Tak ke kerja bahaya tu. Tapi atas keinginan nak tolong mak, aku gagahkan juga sambil dalam kepala dok fikir apa jadi dengan Ultraman kat TV? Berjayakah dia bunuh raksasa cicak tu? Sekali turun padang biasanya dapat la dalam lima kelapan guni rambutan kami kumpul. Tak la semua pokok dihabiskan. Besok kena sambung lagi.

Esoknya pagi-pagi lagi mak dengan ayah bawa rambutan ke pasar tani. Bukan jual sendiri tapi tolak kepada peraih kat pasar. Tak tau pulak aku berapa mak letak harga untuk satu guni. Satu kilo rambutan rasanya RM3. Satu guni rasanya dalam 15 kilo kot. Ah! susahlah nak kira. yang pasti tiap kali jual rambutan kami sekeluarga dapat makan ayam. Kira mewah la tu.

Tapi itu dulu, masa tengah mewah dengan buah-buahan. Dulu nak makan buah apa petik je kat belakang rumah. Ada pokok durian, jambu batu, limau, manggis, mangga dan macam-macam lagi la. Sekarang nak makan semua kena beli. Nasib baik la pokok lalang tak de orang jual lagi.
Sekarang bila usha kat belakang rumah tu, pokok rambutan yang ranum berbuah dulu banyak dah jadi tunggul kayu. Ada pembalak haram ke yang dah ceroboh ni?


+bertani satu ibadah


CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Potong Rambut

Tengah aku syok main lawan pedang kayu dengan teman seperjuanganku,tiba-tiba ayah jerit dari dalam rumah suruh aku naik mandi. Aik... tengah hari macam ni suruh aku mandi macam ada projek je. Mesti nak pergi jalan-jalan ni.

Sepantas biawak aku pergi mandi. Sambil tu dalam kepala dok fikir mana ayah nak bawak aku ni. Beli mainan? Tak mungkin. Pergi funfair? Jauh sekali.

Habis je mandi ayah suruh pakai baju cepat-cepat. Nak pergi kedai gunting kata ayah. Ooo... patut la...Besok dah nak bukak sekolah.Bila tengok rambut aku ni dah macam berus sabut kelapa dah aku tengok.

Jarak antara kedai gunting dari rumah tak la jauh sangat. Naik motor klasik ayah pun boleh sampai. Biasanya dua bulan sekali ayah akan pergi ke kedai gunting ni. Nanti lepas potong rambut boleh la pekena "ABC berdengung" macam biasa.

Inilah kedai gunting favourite ayah. Rasanya sejak remaja lagi ayah dah gunting kat sini.Kedai ni kedai papan, memang dah lama. Mesti askar Jepun dulu pun potong rambut kat sini.Cuma sampai sekarang aku tak faham kenapa kedai gunting dulu-dulu ada benda warna-warni yang berpusing kat luar ni. Pening la tengok lama-lama.

Inilah tauke kedai gunting tu,orang panggil Pak Haji Mustapa, bekas pesara polis. Kedai ni pun diwarisi dari arwah ayahnya.Bisnes turun-temurun la ni. Tapi rasanya lepas ni setakat Pak Haji je la yang jadi tukang gunting pasal anaknya lebih minat nak jadi artis realiti. Kedai Pak Haji sentiasa penuh. Kalau dah tengah hari baru nak pergi ni,tunggu giliran la jawabnya.

Dah kedai pun lama, barang-barang kat kedai ni pun semuanya barang lama. Dah boleh dipanggil antik macam tuannya, daripada kipas angin, radio, sampai la ke peralatannya. Ini kalau jual kat 'Ebay' ni mau cecah ribu-ribu ni.

Tiba la giliran aku. Hari ni aku dah siap bawa sekeping gambar nak tunjuk kat Pak Haji Mustapa. Biar dia ikut style rambut macam dalam gambar tu. Baru ada style. Sebelum ni gaya rambut aku asyik sama aje. Tak up to date langsung.

Potong rambut ni bukannya sekejap. Sambil potong rambut Pak Haji sempat borak-borak lagi dengan pelanggan yang menunggu, sampai boleh buat tertidur. Bila dah tidur tu kadang-kadang mimpi-mimpi indah yang keluar. Erm... besok kat kat sekolah kawan-kawaan mesti teruja tengok rambut aku.

Tapi itu cuma mimpi di siang hari. Sedar-sedar rambut aku tetap macam potongan dulu juga. Sama ada Pak Haji memang tak tau potong style lain atau memang ayah aku dah berpakat dengannya. Tak tau la.



+kembali ke sekolah dengan semangat baru.

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM