Thursday, November 29, 2012

Rasulullah SAW Sayang Kepada Haiwan

Gambar sekadar hiasan.Pada suatu hari, Rasulullah SAW melalui sebuah kebun kepunyaan seorang Ansar. Di dalam kebun itu, Rasulullah SAW terlihat seekor unta yang sedang mengerang kesakitan sehingga mengeluarkan air mata. Lalu, Rasulullah SAW mendekati dan mengusapkan tangannya ke atas belakang unta itu. Tidak berapa lama kemudian, datanglah seorang pemuda Ansar iaitu pemilik unta tersebut. Pemuda itu berkata: " Unta itu adalah milikku, wahai Rasulullah."

Rasulullah SAW bertanya: "Adakah kamu tidak takut kepada Allah yang telah memberimu unta ini? Sesungguhnya unta ini telah mengadu kepadaku bahawa engkau telah membiarkannya kelaparan dan  memaksanya melakukan pekerjaan yang berat."

Dalam suatu kisah yang lain pula, Rasulullah SAW melihat beberapa orang sahabat sedang membakar sarang semut. Lalu Rasulullah SAW bertanya: "Siapakah yang membakar ini?" Maka para sahabat pun mengaku bahawa merekalah yang membakarnya. Lalu, Rasulullah SAW berkata: "Yang layak menyeksa dengan api hanyalah Tuhan kepada api (iaitu Allah) sahaja."

Rasulullah SAW juga sering menasihati sahabat-sahabat baginda agar sentiasa berhati-hati semasa mencukur bulu biri-biri agar jangan sampai menyakiti atau melukai tubuh haiwan tersebut. Rasulullah SAW tidak melarang kita memancing ikan atau berburu binatang, tetapi Rasulullah SAW melarang kita berburu untuk tujuan suka-suka dan bukannya untuk dimakan. Rasulullah SAW pernah menasihati para sahabatnya:             "Sesiapa yang membunuh seekor burung secara sia-sia (Bukan untuk dimakan), burung itu akan datang kepada Allah pada hari kiamat dan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya orang ini telah membunuhku secara sia-sia dan dia tidak membunuhku untuk mengambil manfaat dariku."

Cerita-cerita di atas menggambarkan betapa halusnya perasaan kasih dan sayang Rasulullah SAW terhadap haiwan. Rasulullah SAW telah membawa rahmat kepada seluruh makhluk di dunia ini. Ajarannya tidak hanya melindungi hak-hak manusia sahaja, tetapi juga melindungi hak-hak haiwan yang juga dicipta oleh Allah Yang Maha Besar.

Wednesday, November 14, 2012

'Ayam Jepun'

Dulu-dulu kalau cuti sekolah biasaya aku balik rumah atuk. Seronok, maklumlah suasana kampung. Segar je. Cuma ada satu perkara yang buat aku fobia kat rumah atuk, ni nak cerita ni...

Atuk ada pelihara banyak haiwan ternakan. Tapi dalam banyak-banyak tu, ada seekor ayam ni cukup tak suka dengan aku. Aku tak tau la ayam ni dari spesis mana tapi aku panggil  'ayam jepun' sebab ia ganas yang amat. Macam Jepun masa kat Malaya dulu-dulu... Ayam ni suka sangat kejar aku sambil cuba nak patuk aku. Walaupun aku tak kacau dia pun.

Rumah atuk ni tandasnya kat luar, jadi kalau nak buang air tu kena la ambil satu baldi air dan kena jalan sikit.Tiap kali nak buang air tiap kali tu lah adegan kejar-mengejar aku dengan ayam ni berlaku. Kekadang ayam ni nyorok kat mana-mana. Elok je aku jejak kaki kat tanah, ntah dari mana laju je datang meluru kat aku.. Dan begitu jugaklah bila dah selesai lepas hajat. Yang tak tahan tu, ayam ni sanggup dok tunggu depan tandas tunggu aku keluar. Dengki betul.

Bukan setakat tu je kekadang bila nak keluar bermain petang-petang pun aku tak boleh. Ayam ni dok tunggu je peluang nak kenakan aku. Apa dosa aku kat dia pun aku tak tahu la.. Nak kata aku pernah kacau gilrfriend dia takde la pulak.

Ayam ni tak pulak nak kacau orang lain, mungkin dia tengok badan aku ni tak berapa besar. Tu yang dia tunjuk berani tu. Aku ni pulak jenis tak berapa suka dengan benda-benda hidup. Tu yang aku takut sangat tu. Tekanan jiwa aku dibuatnya. Macam ada konflik peribadi pulak aku dengan ayam ni.

Permusuhan aku dengan ayam atuk ni berlanjutan dalam bertahun jugak sehingga la pada suatu hari atuk terperasan ayam tu dah tak secergas dulu lagi. Selalu sakit-sakit. Penyakit ayam. Tak tau la pulak aku sak
it apa. Mungkin penat kot selalu kejar aku.

Jadi satu hari, sebelum ayam tu mati dengan sia-sia, atuk pun sembelih la ayam tu buat lauk. Atuk cakap ayam kampung ni sedap kalau digoreng, dagingnya pejal. Malam tu satu famili la makan nasi lauk ayam goreng. Tapi walaupun aku benci ayam tu kerana selalu kacau hidup aku, tapi aku tak sanggup nak makan daging musuh aku sendiri. Aku tak tau pasal apa, tapi aku tak sampai hati.

Walaupun selepas tu aku dah bebas nak main kat luar rumah, tapi aku rasa ada sesuatu yang hilang.. Em..

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Sunday, November 11, 2012

Hari pertama sekolahku


Bangun dari tidur aku layan sejuk pagi dulu. Macam ada irama lagu kanak-kanak riang dok main dalam kepala aku ni. Ishk.! Sejuknya pagi ni. Kalau layan sambung tidur pun best ni. Tiba-tiba terdengar suara mak menjerit dari arah dapur suruh aku mandi. Laa.. Hari ni rupanya aku dah mula sekolah. Dah tahun satu rupanya aku ni.

Selesai mandi, aku tengok baju sekolah dah siap mak aku ‘iron’ kan. Ni baju ‘recycle’ dari abang aku tahun lepas. Dia dah tak muat. Dah rendam dengan ‘clorox’ dan kanji nampak baru la baju ni.

Mak sediakan bekal nasi goreng, pastu bagi pulak duit belanja seringgit, takut aku tak cukup kenyang. Masa keluar rumah, terserempak pula dengan atuk. Atuk bagi seringgit lagi, dapat la dua ringgit hari ni. Mewah aku, boleh kumpul buat beli buku komik ni.

Pergi sekolah aku tumpang abang ngah aku naik basikal choppernya. Masam semacam je muka dia. Mesti pasal kena tumpangkan aku la ni. Selalunya lepas balik sekolah abang melencong ke tempat lain. Kali ni kena hantar aku dulu. Biasa la, jadi abang kena la ada tanggungjawab.

Ni budak kelas aku. Orang lain datang sekolah bawak buku, dia datang bawak mainan. Ni mesti kes tak boleh berpisah dengan aktiviti harian kat rumah ni. ‘Come on’ la, kita dah besar, mainan ni baby-baby kiut je layan.

Bila cikgu kelas masuk, semua diam. Takut betul budak-budak ni. Maklum la hari pertama. Yang cikgu ni pun satu , aku tengok cikgu-cikgu sekolah ni semua muka garang-garang. Ada masalah peribadi ke? Salah cara ni. Patutnya cikgu kena la lemah lembut, penyayang dan manis muka. Baru la budak seronok nak belajar dan takde la kes ponteng sekolah.

Aku kat sekolah jenis penyegan. Kalau takde orang tegur nak berkawan, aku diam je la. Tapi dalam ramai-ramai tu sorang budak perempuan ni berani tegur aku. Siti namanya. Jadi dialah kawan pertama aku kat sekolah. Sebagai meraikan persahabatan, hari ni aku belanja Siti aiskrim.

Tengah syok makan aiskrim datang tiga orang pelajar senior nak ‘pau’ duit aku. Aku dah nak nangis dah. Badan besar-besar tu. Tanpa aku sangka Siti perambat diorang dengan penyapu. Tak sangka aku Siti yang comot ni berani orangnya.

Balik rumah mak bising kat aku, baju sekolah kotor sangat. Baru sehari pakai. Pastu mak lagi bising bila buku latihan dah buat jadi diari.

Tak kisah la. Cuma aku tak sabar nak gi sekolah lagi besok. Lagipun aku dah ada orang yang jaga.

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Terima Kasih Cikgu

Ini adalah kisah tiga sekawan yang suka bikin panas.Di Sekolah Kebangsaan Sungai Siput siapa yang tak kenal dengan Pyan, Ipan dan Juki, pelajar dengan ranking paling tinggi masalah disiplinnya. Diorang bertiga sahajalah yang selalu bertukar tempat teratas setiap minggu. Rotan dan pembaris besi umpama barang mainan mereka dan bilik disiplin pula umpama shopping copmlex bagi mereka.

Di sekolah, mana-mana pelajar yang buat masalah dengan mereka pasti ada ganjaran yang menanti. Jangan salahkan 'Ah Long' Bukit Beruntung kalau ada kes peras ugut. Itu semua kerja mereka. Belum kira lagi kes makanan kat kantin lesap, kes tayar basikal tercabut, kes cangkul tukang kebun hilang dan banyak lagi.

Dalam kelas, biasa la tempat duduk mereka adalah barisan paling belakang sekali. Lagi belakang lagi nampak brutal. Dah jadi zon selamat mereka. Tak berani orang lain nak dekat. Hobi mereka kacau budak perempuan (yang cantik sahaja), tak buat kerja sekolah, meniru suara binatang, bermain robot waktu sekolah dan membuat silap mata dengan menghilangkan diri sendiri di waktu kelas.

Sehingga la pada suatu hari tahap kenakalan mereka ini tak dapat dibendung lagi oleh guru kelas mereka. Mereka bertiga dipanggil mengahadap dan hari tu keluarlah sesuatu amaran dan kata-kata pedas dari cikgu mereka. Memang nyata bukan kata-kata pujian, cukup berbisa, tak tergamak nak ditulis di sini.

Mereka tidak sangka cikgu sanggup cakap mereka sebegitu rupa. Kata-kata cikgu itu cukup menghiris kalbu dan menusuk ke sanubari mereka. Luka di tangan boleh dilihat, luka di hati siapa yang tahu. Sejak hari tu mereka bertiga berubah menjadi pendiam, menyendiri dan tidak suka bergaul. Dalam hati mereka seperti ada menyimpan perasaan dendam kesumat de
ngan cikgu mereka. Macam ada sesuatu yang harus dibalas dan dibuktikan.

Juki lebih suka menonton cerita-cerita sedih melankolik seperti 'Sembilu 8', 'Nur Kasih' dan iklan 'Budi Bahasa Budaya KIta'.Pyan mula gemar membaca novel Ana Solehah terutama Novel Debaran Di Hati Ana. Manakala Ipan sekarang ni rajin menolong ibunya membasuh kain baju.

Hari berganti minggu, bulan berganti tahun, semuanya berlalu tanpa disedari. Alam persekolahan sudah berlalu, bidang kerjaya pula la yang kena tempoh. Macam tu la dengan mereka juga. Juki kini ialah seorang pensyarah universiti, Ipan ada 'bisnes' sendiri dan Pyan pula orang kanan menteri. Masing-masing nampaknya berjaya dalam hidup, tidak seperti waktu sekolah dulu yang merudum.

Dan suatu hari mereka bertiga bertemu kembali dan berpakat untuk berjumpa semula dengan cikgu yang pernah menyakitkan hati mereka dahulu. Bukan untuk membalas dendam atau untuk berlagak dengan kedudukan mereka sekarang. Cuma untuk ucapan TERIMA KASIH CIKGU atas jasamu.

+Seee...lamat pagi cikgu....!


CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Monday, November 5, 2012

Misteri Buku Latihan Amirul


Pagi tu lepas je solat Subuh saya dah bergerak sorang-sorang pergi ke sekolah. Malas nak tunggu kawan-kawan yang lain. Saya rasa  bersemangat maklum la kerja sekolah yang cikgu bagi semalam semuanya saya dah siapkan.

Saya menaiki basikal ke sekolah setiap hari. Diiringi alunan ‘vocal’ saya yang semakin mantap, saya meneruskan kayuhan. Tiba-tiba perjalanan saya terganggu. Seorang murid perempuan menahan saya. Nampak macam ada masalah.

Rupanya dia pun dalam perjalanan ke sekolah yang sama cuma tadi masa berjalan dia terjatuh dan kakinya terseliuh.Oleh kerana saya sudah dididik dengan sifat-sifat yang murni lagi pekerti, dengan rela hati saya menumpangkan murid tu. Ala dah satu sekolah apa salahnya.

Dalam perjalanan, murid tu tak bercakap, dok diam je. Sama ada dia malu atau teruja dapat naik basikal saya, tak tau la. Lidah saya pun jadi kelu untuk berkata-kata.

Tiba-tiba budak permpuan tu bersuara dan dengan tiba-tiba juga saya rasa kayuhan saya menjadi begitu berat sekali. Terasa satu bebanan seberat seekor anak gajah yang saya bawa di belakang. Semakin lama semakin berat sehingga la saya tidak terdaya lagi. Dan apabila saya menoleh ke belakang satu lembaga yang menakutkan berada di belakang saya.

Tak cukup tayar saya lari.Rupa-rupanya  saya hanya mimpi di dalam kelas semasa cikgu mengajar.

+Siapkanlah setiap tugasan yang diberi oleh guru.

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Wow, Wau


Permainan wau, juga dikenali dengan nama permainan layang-layang merupakan satu aktiviti menerbangkan objek tersebut di udara. Perkataan ‘wau’ dikatakan berasal daripada kerajaan Melayu Pattani (Thailand) memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut.

Perkataan layang-layang pula digunakan dikebanyakan negeri seperti di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja.

Dah macam masuk kelas sejarah kita hari ni, ye. Tapi itu bagus untuk menambah ilmu pengetahuan. Lagipun setiap peristiwa atau benda yang dicipta ada sejarahnya.Main wau ni tak semua orang pernah rasa macam permainan video. Setakat tengok tu biasa la, tapi pernah tak merasai feel menerbangkannya?
Seingat aku, wau pertama yang aku pernah main adalah wau kertas yang dibuat sendiri dengan kertas lukisan. Aku panggil ‘Wau Tong’. Tapi wau ni tak mencabar pun nak main. Talinya pun aku pakai benang jahit baju mak aku je. Memang kena gelak dengan penduduk kampung je kalau main di padang pada waktu petang.

Jadi nak dapatkan wau yang real kenalah minta bantuan atuk aku yang pakar dalam profesion membuat wau. Kena pula hari tu mood atuk tengah baik pasal team bolanya menang semalam.
Perkara asas nak buat wau adalah kena cari buluh untuk dibuat rangkanya. Buluh tu pula tak boleh muda atau tua sangat. Senang cerita cari buluh yang belia remaja supaya tidak mudah patah. Kalau kat kampung memang bersepah pokok buluh ni. Tak payah susah-susah, niat  je nak cari dah terjumpa depan mata.

Wau yang atuk nak buat ni namanya ‘Wau Bulan’. Glamer tau wau ni, sampai jadi simbol kat ekor kapal terbang MAS. Nak buatnya bukan semudah rendam mi segera dalam mangkuk tau. Perlu kemahiran dan kesabaran.

Buluh tadi akan diraut halus dan bahagian sayap akan ditimbang dengan jari supaya seimbang kiri dan kanannya. Bahagian inilah yang paling penting supaya wau tu nanti tak berat sebelah. Kalau tidak, jawabnya tersungkur ke bumi la.

Seterusnya bahagian tulang belakang dan ekor pula diraut untuk melengkapkan rangkanya. Semua bahagian ini akan diikat kemas deangan benang atau tali. Rangka yang sudah siap seterusnya akan digam dengan kertas berwarna.

Kat sini la kreativiti pembuat wau diperlukan untuk membezakan wau kita dengan yang lain. Kita boleh lukis dan reka corak kita sendiri. Nak buat corak batik ke, corak kain pelikat ke atau corak bunga teratai layu di tasik madu ke, suka hati la.

Sekarang wau aku dah siap. Cantik sungguh atuk buat. Terima kasih atuk. Jadi, tiba la masanya nak naikkannya pula. Kitorang pun pergi ke padang dekat rumah atuk. Waktu petang memang ramai orang main wau kat situ. Kena pulak musim angin monsun bertiup kencang ni.

Nak main wau ni kena cari kawasan lapang. Kalau tak, ada la yang menangis air mata darah tengok wau cantik-cantik tersangkut kat pokok kelapa atau tiang elektrik.

Menaikkan wau mestilah dalam keadaan yang bertentangan dengan arah tiupan angin dan wau mestilah dalam keadaan menegak. Alhamdulillah, wau aku naik dengan bergaya. Macam burung rajawali terbang megah di angkasa!

Musim orang main wau ni dah rasa macam pesta. Macam-macam jenis wau ada. Wau siapa yang terbang paling tinggi dia la yang terbaik. Wau aku memang tak mengecewakan. Memandangkan angin pun baik, Maghrib pun dah sampai, atuk suruh tinggalkan je kat situ. Besok pagi la turunkan. Boleh ke? Tapi selalu juga orang buat. Jadi la Wau Bulan terbang malam.

Wau yang halus buatannya, cantik dan terbang dengan baik tidak ada maknanya jika tali yang digunakan tidak begitu baik. Itulah yang terjadi kepada wau aku. Besoknya bila aku pergi ke padang, wau aku dah tak ada. Tinggal tali yang dah putus terikat ditambatannya.

Itulah wau pertama dan terakhir aku pernah ada. Entah ke mana la diterbangkan angin. Mungkin dah sampai negara Brazil kot?

+Permainan tradisi memang menyeronokkan. Kalau tidak kita sendiri yang mengekalkannya, nak harapkan siapa agaknya?

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Duit Rayaku


Apa yang paling best bagi budak-budak bila nak raya? Selain baju dan kasut baru, sudah pastinya dapat duit raya. Sampai menghitung hari la tunggu nak raya. Kenapa duit raya? Kerana budak-budak pun tahu, dengan adanya duit, kita boleh beli apa saja. Itulah betapa besarnya kuasa duit. Mari aku nak cerita dari mana datangnya duit raya yang aku dapat.

Bangun pagi, dah bersiap pakai baju raya, pertama sekali kena la salam mintak maaf kat mak dan abah. Masa ni kena la buat muka insaf sikit sambil jeling-jeling kat saku baju abah. Ada budget duit raya tak? Aku tak mengharap banyak sangat mak atau abah nak bagi. Dah cukup la dapat baju baru dua tiga helai ni. Dapat makan free hari-hari lagi. Apalagi yang nak? Bersyukur aje la. 

Balik dari sembahyang raya aku terus ke rumah nenek. Biasanya nenek tak kedekut bagi duit raya kat cucu-cucunya. Tambah pulak aku ni cucu nenek yang paling ‘kamcing’ dengan nenek dan yang paling comel (nenek yang cakap, bukan aku). Nenek ni nampak je hidup sederhana tapi ada tanah berekar-ekar, rumah sewa berderet-deret. Dah berkali-kali dah naik haji. Setakat duit raya kaler ungu tu sambil jeling je nenek bagi. Kena diam-diam ni. Kalau mak tau nanti mak mintak persen.

Hari raya ni semua saudara mara pakat-pakat balik kampung. Adik beradik abah ada 10 orang. Adik beradik mak ada 11 orang. Semuanya dah kerja. Ada pak long, mak long, pak teh, mak ngah, pak su, mak su dan ramai lagi la. Kalau seorang bagi seringgit seorang pun dah berapa tu. Kalau RM100 seorang? Tak ke lumayan tu. Ermm... RM100...dalam mimpi je la.

Kalau nak duit lebih lagi kena la kerja keras sikit. Aku ajak dua tiga orang  sepupu aku, kami beraya pulak kat rumah jiran satu kampung. Setiap satu rumah takde la dapat banyak, dua puluh sen atau lima puluh sen je. Kalau nasib baik dapat la seringgit.

Kalau nak lebih kena la jalan jauh sikit. Tapi cuba bayangkan, kalau satu rumah kami makan tiga biji biskut dan segelas air. Kalau 20 buah rumah dah berapa biji biskut kami makan dan berapa gelen air kami dah minum? Hanya kerana duit raya.

Ada juga kes-kes terpencil yang bila balik rumah buka je sampul raya tengok kosong. Orang yang bagi ni sengaja atau tak sengaja tak dapat dipastikan. Tapi kalau dia sengaja percayalah, dia sudah mengguris hati kanak-kanak di hari raya yang mulia ini.

Bila dikira semua duit raya yang dapat, boleh tahan juga tahun ni. Ekonomi Negara dah pulih ke? Kalau tanya aku apa nak buat dengan duit ni, satu je aku idamkan. Aku nak beli handphone yang ada touch screen dan boleh main game sampai lebam. Tapi haruskah aku habiskan semua duit tu dengan sekelip mata. Selepas penat berpuasa kerana nak kumpul duit raya. Haruskah aku?

+Simpan duit tu kat Tabung Haji. Buat gi Mekah- Pesan nenek.

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Wednesday, October 24, 2012

Cuti sekolah sangat membosankan kita bila....

Pernah tak kawan-kawan semua terfikir yang satu hari nanti cuti sekolah kita akan jadi tak seronok macam selalu. Mari kita tengok apa sebab-sebabnya...

Elok je cuti sekolah bermula, masa tu jugaklah ayah kita kena kerja 'out station'. Sampai bermingu-minggu pulak tu. Sah-sahlah terperap kat rumah je lah kita ni.

Tak dapat nak balik bercuti kat kampung pasal atuk dan nenek dah datang melawat kita dulu. Macam nak tinggal lama pulak tu. Nampak gaya tak dapat nak mandi sungai, nak panjat pokok, nak makan buah kat kampung atuk... Hmmm...

Mak suruh kita jaga dan tengok-tengokkan adik yang baru tau nak berjalan, yang baru nak belajar fungsi tangannya sendiri dan baru nak mengenali keunikan barang-barang di rumah.Dengan kebuasannya yang memerlukan pengawasan 24 jam, pasti ia akan mengganggu rutin kehidupan harian kita.

Kawan-kawan yang duduk berjiran, semua dah ada program masing-masing. Ada yang balik kampung la, bercuti kat pulau la, camping dengan famili la. Tinggal la kita terkontang-kanting tanpa arah tujuan.Takkan nak ajak main bola dengan kucing peliharaan...Last -last... main dengan abang posmen je la...

Hujan lebat dari pagi sampai ke malam. Start hari pertama cuti sekolah lagi. Musim tengkujuh dah bermula la ni. Bayangkanlah nak pergi mana pun tak boleh. Duduk kat dalam rumah ajelah. Nak tengok TV cerita kartun, hujan-hujan ni TV pulak tak dapat siaran tapi setiap bulan ayah kena jugak bayar bil.

Bila cuti sekolah, masa tu jugaklah abang atau kakak kita nak kahwin. Jadi , dalam masa sebulan ni famili kita akan sibuk nak uruskan majlis hingga tak ada sapa nak fikir pasal kita. Apa aktiviti kita nak buat nanti? takkan hari-hari kita nak kena tolong buat bunga telur aje.

Satu hari ayah dan mak kita balik ke rumah dan masing-masing bagitau yang diorang tak dapat bonus tahunan seperti tahun yang sudah. Jadi planning untuk pergi bercuti ke tempat peranginan sempena cuti sekolah ni terpaksa dibatalkan kerana tiada budget. Waaaa....


CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Monday, May 28, 2012

Atuk datang KL

Biasanya bila cuti sekolah saya dan keluarga balik kampung jumpa atuk tapi tahun ni lain sikit pasal kali ni atuk yang datang Kuala Lumpur bercuti dengan saya. Jadi hari tu saya bawa atuk jalan-jalan kat KL.

Saya bawa atuk naik LRT. Masa dalam LRT tu orang ramai dan tempat duduk pun penuh. Tapi dalam ramai-ramai tu takde seorang pun nak bagi tempat duduk kat atuk. Ada yang buat-buat tidur lagi. Sedih la, mana pergi sifat menghormati warga tua...

Kami turun kat stesen KLCC. Saya nak tunjukkan atuk bangunan KLCC. Atuk cakap takde la nampak tinggi sangat KLCC ni, lebih kurang pokok kelapa kat kampung je. Ye ke macam tu?

Lepas tu saya bawa pula atuk ke Zoo Negara. Kami tengok macam-macam haiwan kat situ. Tapi atuk cakap kat kampungnya pun ada binatang, lagi jinak dan siap boleh kawan lagi. Atuk macam tak seronok je.

Saya bawa pula atuk ke Muzium Negara tengok barang-barang lama yang berharga. Tapi atuk cakap basikal tuanya kat kampung tu lagi lama usianya dari bangunan muzium tu sendiri. Nampaknya atuk tak seronok lagi la...

Dah penat jalan-jalan saya bawa atuk makan nasi lemak dengan Coffee Latte kat Kopitiam. Atuk cakap
nasi lemak dan teh tarik Wak Asil lagi sedap dan lagi murah dari ni. Emm... Atuk tak happy la...

Lepas makan kebetulan pula hari tu ada Moto GP, saya bawa atuk pergi Sepang tapi atuk cakap Mat Rempit kat kampung atuk lagi terrer bawa motor, corner baring boleh cecah cuping telinga.

Nampaknya atuk tak gembira la dengan tempat-tempat yang saya bawa. Apa yang ada kat Kuala Lumpur, atuk bandingkan dengan yang ada kat kampung dan bagi atuk, yang ada kat kampung lagi sesuai dengan jiwa atuk. Lepas penat sehari pusing, atuk pun ajak balik rumah. Tapi rupa-rupanya keseronokanyang atuk cari hanya ada kat rumah saya.Hari tu akhirnya atuk jumpa juga perkara yang seronok dibuat, yang tak ada di kampung.

Sunday, May 6, 2012

Kenangan Terindah

Ini mak aku. Orang kampung panggil mak aku 'Cik Nah'. Mak aku ni tegas dan garang orangnya. Aku akui, sampai sekarang aku masih lagi takut dengannya lebih-lebih lagi kalau dia tanya soalan lazim "dah solat ke belum?" So, nak elakkan daripada disoal siasat, aku cepat-cepat solat dulu walaupun aku tengah leading main teng-teng kapal terbang. Kalau aku jawab "belum", memang sahlah hari tu aku bakal menempah maut (a.k.a. kena rotan)

Semenjak mak jadi balu, mak banyak terlibat dengan aktiviti keagamaan di kampung. boleh dikatakan setiap malam, mak akan pergi ke surau atau masjid untuk mendengar kuliah ataupun belajar mengaji. Aku masa tu memang tak ada pilihan lain, terpaksalah ikut. Masa tu, rumah kami takde TV, so kalau aku buat alasan yang munasabah sekalipun, aku tidak mampu menewaskan mata mak yang  mencerlung  tajam  ke  arahku       ( tak bagi la tu...)

Lazimnya selepas solat Maghrib,kami akan bersiap-siap ka surau atau masjid. Oleh kerana saban hari kami ke sana, maka tak hairanlah aku dah boleh hafal nama ustaz-ustaz yang mengajar. Sebut je... Ustaz Gous, Ustaz Norman, Ustaz Zalnun, Ustaz Fahrin Ahmad... Semuanya kau kenal. Nak tau kenapa aku kata macam tu? Sebab time solat berjemaah,aku boleh tau ustaz mana yang akan baca surah pendek; ustaz mana yang solatnya 'laju' dan mana yang solatnya slow... Hehehe...

Selepas kuliah,biasanya ada jamuan moreh disediakan. Masa tu, jamuan moreh sangat happening... Time bulan puasa pun tak macam ni...Bubur lambuk, mi goreng, mi kari,lontong dan macam-macam lagi. Time tu akulah yang paling rajin sekali. Tolong apa yang patut. Habuannya memang best... Dapat makan lebih daripada yang dihidangkan...

Pada suatu hari, nak dijadikan cerita... Semasa tengah solat, kawan aku tarik telekong aku. Aku sabar je... Lepas je beri salam, tanpa sempat lipat telekong, aku pun gi hambat dia. Kami pun berkejar-kejaranlah dalam surau. Tanpa diduga, kakiku terlanggar dulang yang berisi moreh. Dengan gaya gimnastik bertaraf olimpik, aku pun melayang ke atas dulang moreh tu...Pranggg!!! Bunyi dulang dan pinggan bersatu. Seluruh jemaah yang sedang khusyuk berdoa tergamam dan terpaku...

Pulang dari surau, aku tak terus balik rumah tapi aku singgah rumah opah. Aku buat-buat terlelap masa tengok TV. Tapi 'niat baik' aku tu tak dimakbulkan Tuhan. Lebih kurang pukul 10.30 malam, mak telefon. Dia suruh opah aku hantar aku balik rumah. Dengan hati yang amat resah,aku pun balik la... Tiba je kat rumah, aku nampak mak dah pegang hanger... Malam tu, buat kali ke berapa ntah... Aku kena sesah lagi... Adoiii...Mak ampun... Tak nak buat lagi...

+Bila dah besar baru aku tahu, apa yang mak asyik rotan aku
 masa kecil-kecil dulu supaya aku jadi insan berguna.


CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSIM

Saturday, May 5, 2012

TV

Kali ni aku nak cerita pasal satu benda ni yang rupanya bersegi-segi. Inilah dia peti televisyen atau TV yang aku 'gerenti' ada kat semua rumah di dunia ni. Tapi yang aku nak cerita ni pasal TV lama rumah aku dulu.

Aku tak tau la mana asal-usulnya benda yang macam almari ni, tapi seingat aku la masa aku bukak mata, TV ni memang dah ada kat rumah aku. Lupa pulak nak tanya ayah mana dapatnya. Ntah ada lori terbalik dia pergi kutip ke, mana tau kan. Yang aku tau benda tu besar badak, ada gambar boleh gerak-gerak, ada suara dan kalau timpa aku memang jadi ayam penyek punya.

TV ni cuma ada warna hitam dan putih je.Jadi kalau tengok rancangan ' Warna-warni Aidilfitri' tu memang tak tahu la apa warnanya.Apatah lagi kalau tengok siaran langsung pertunjukan bunga api dari Dataran Merdeka. Bunga api tu satu warna je. Satu lagi sifat TV ni bila kita 'on' kena tunggu 5 ke 8 saat baru keluar gambarnya. Maklum la teknologi lama, lambat sikit nak berfungsi organ-organ dalamnya. Tapi yang uniknya ia ada pintu. Macam almari lauk mak.

Menonton TV ni ada kebaikan dan keburukannya.
Yang baiknya boleh mengeratkan kekeluargaan bila semua berkumpul. Masa ni la boleh nampak muka abang aku yang jarang lekat kat rumah. Boleh pulak makan sama-sama sambil menonton. Kena pulak masa tu ada cerita best. Yang tak baiknya bila kita jadi ketagih nak tengok TV. Pernah la aku kena marah dengan ayah pasal aku nak bukak TV masa azan Maghrib. Stesen TV ni satu hal, masa tu la dia nak tayang kartun best-best. Apa, ingat kanak-kanak ni takyah solat ke?

Satu lagi TV ni boleh mencetuskan pergaduhan adik-beradik. Yang ni nak tengok drama, yang tu pulak nak tengok sukan. Belum kira 'spesies' yang suka tengok iklan lagi. Macam abang aku ni kalau dia dah kata nak tengok bola,jangan harap la nak tukar channel. Tapi, apa-apa pun kuasa veto tetap di tangan mak bila mak cakap "Tolong tukar siaran lain, Mak nak tengok rancangan Tilawah al-Quran."

Kalau nak kira,dulu-dulu kat kampung aku bukan semua orang ada TV sendiri. Jadi kalau ada siaran sukan
Olimpik ke, Piala Dunia ke atau paling tidak pun keputusan pilihan raya, maka ramai la orang-orang kampung yang melepak kat rumah aku. Kenapa la masa tu tak terfikir nak bukak Kopitiam. Kalau tidak dah besar dah perniagaan tu sekarang.

Suatu hari tanpa apa-apa gosip panas, abang aku sudah beli TV warna baru.Kira hadiah gaji pertama dia lah tu. Masa tu baru aku sedar dunia ni rupanya penuh warna-warni. Dan hari tu juga baru aku tahu 'seluar   kecik' Superman tu rupanya warna merah.

Apa jadi dengan TV lama? Aku sendiri pun tak tau. Sejak ada TV baru ni, sedikit demi sedikit TV lama hilang dari pandangan aku. Ia hilang penuh misteri.Apa pun aku nak ucap terima kasih kat TV tu kerana memperkenalkan aku denagn dunia luar.

+"TV...TV jugak, buku jangan lupa. Ingat TV tu boleh bawak masuk periksa ke," jerit emak dari dapur.


CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM 

Friday, May 4, 2012

Abang Zafran Yang Misteri

Kat kampung aku dulu tinggal seorang lelaki misteri, Abang Zafran namanya. Kalau dilihat pada fizikalnya takde apa yang pelik. Dengan baju mekanik warna kuning dan helmet full facenya Abang Zafran ada la nampak hensem juga tapi bila dengan basikal peliknya yang dibuat sendiri, Abang Zafran memang nampak tak berapa nak betul.

Kerja Abang Zafran hari-hari ialah meronda satu pekan dengan basikalnya sambil mencari besi buruk.Rasanya itulah sumber pendapatan Abang Zafran. Jadi tak hairan la penduduk kampung selalu nampak dia di kawasan kilang-kilang, kedai-kedai besi dan kedai nasi kukus Cik Omar.

Kat kampung, Abang Zafran tak berapa nak 'mesra rakyat'. Takde nampak dia bergaul dengan orang kampung.Pagi-pagi dah keluar kerja, maghrib baru balik dengan hasil kutipannya. Tinggal pula sorang-sorang
di rumah buruk yang berdindingkan zink karat. Tapi nampak dia bahagia dengan hidupnya.

Oleh kerana perangainya yang pelik dan suka menyendiri,Abang Zafran selalu dipandang serong oleh orang kampung sehinggakan bila ada kes kecurian di kampung kami,Abang Zafran la yang menjadi suspek utamanya walaupun takde bukti dia yang lakukan. Itu belum kira kes anak dara yang hilang dari rumah lagi tu.

Oleh kerana Abang Zafran ni dah glamour satu kampung, satu hari aku dan kawan seperguruan aku cuba nak siasat apa betul ke Abang Zafran ni seorang pencuri? Apa sebenarnya aktiviti dia seharian? Jadi kami ikut ke mana dia pergi. Tengok apa yang dia cari, betul ke besi buruk atau itu mesin basuh makcik Nordi yang hilang.Seronok jugak kerja kami buat ni. Dah rasa macam polis 'Gerak Khas'.

Pernah kami ikut sampai ke rumah dia,mana tau kat situ boleh dapat bukti yang kukuh.Tapi belum sempat kami jumpa bukti, Abang Zafran dah jumpa kami dulu. Lintang-pukang kami lari,takut kena kidnap pastu mana tau dia mintak pula wang tebusan lapan juta kat keluarga kami, sapa yang susah? Mak ayah aku jugak yang susah.

Satu petang yang indah, kecoh satu kampung yang satu sindiket curi motor dan kereta telah berjaya diberkas polis. Dan masa tu juga orang kampung nampak yang Abang Zafran ada di tempat kejadian. Tapi dia bukan suspeknya,Abang Zafran la yang memberkasnya.Hari tu satu kampung akhirnya tahu yang Abang Zafran rupanya seorang Polis Undercover.

+Jangan menilai seseorang dengan rupa luarannya sahaja.


CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM.

Tuesday, March 13, 2012

Ayam Madu, Sirap Limau

"Sebuah kisah di bulan Ramadan, diceritakan kembali oleh seorang insan yang sudah insaf."

Bulan Ramadan datang lagi, maknanya tibalah bulan yang menguji kekuatan dan kesabaran kita. Masa tu aku duduk kat asrama. Bila dah jauh dengan mak ayah ni perangai kita pun kadang-kadang "over acting" la sikit.

Hari tu balik dari sekolah, macam biasa aku uji kekuatan iman kawan aku Fakrul. Dan macam biasa, imannya senipis kulit bawang dibelah lagi tiga kali. Baru je aku cerita pasal ayam bapak aku kena langgar lori terus dia ajak aku ponteng puasa. Pantang betul dia bila disebut ayam.

Sampai kat asrama, macam biasa, Kami terus ke bilik kawan-kawan kamcing kami yang lain untuk ambil order. Ini kira nak ponteng puasa secara berkumpulan la ni. Masa ni boleh la buat bisnes sikit. Siapa yang nak order tu kami ambil la duit selebihnya sebagai upah. Kalau sorang lima posen atau seringgit, 10 orang lepas la duit nasi untuk kami berdua.

Kalau nak ponteng puasa ni setakat telan biskut kering dengan air
kosong buat membazir je. Menu kegemaran kami ialah ayam madu dan sirap limau. Baru berbaloi nak ponteng puasa.

Dah selesai ambik order,tugas aku la pulak nak membelinya. Kat mana lagi kalau bukan kedai mamak belakang sekolah tu. Bulan puasa ke Thaipusam ke, mana pernah tutup kedai ni.

Untuk keselamatan, aku pakai topi senang nak cover muka. Mana la tau terserempak dengan bakal mak mentua nanti. Paling penting kena bawak satu beg galas yang dibiarkan kosong. Yela, takkan selamba biri-biri nak bawak dalam beg plastik nak masuk asrama. Nampak kat warden mau kena hukum jadi orang gaji dia, untuk satu semester.

Masuk je kedai mamak mesti pantas, yakin dan fokus pada matlamat asal. Jangan nak layan tengok bola pulak. Dengan muka tak bersalah aku order dan tunggu la sampai siap. Pastu campak je semua pesanan tu masuk dalam beg dan blah. Buat apa nak tunggu lama-lama. Kena serbu dengan pejabat agama karang mau besoknya muka aku kat muka depan surat khabar.

Sampai kat asrama hati ni dah meronta-ronta nak makan. Ayam madu ni, sebelum ni nampak biasa je, tapi bila bulan puasa lain sikit goyangannya. Perut pun dah menyanyi.

Masa nak naik tangga terserempak pulak dengan warden asrama. Dengan muka pelajar pintar,aku bagi salam   dan terus panjat anak tangga.Nanti kalau bersembang lama-lama takut pulak warden terbau ayam madu.

Nampaknya semua dah ok.Misi berjaya. Makanan semua dah bagi kepada si pengirimnya, tunggu nak makan je lagi.Air sirap pun dah tersedia terhidang.Jam menunjukkan pukul satu tengahari.Cantik la ni, kalau makan lewat sangat rasa tak berbaloi pulak nak ponteng puasa. Bila masa berbuka nanti buat-buat la muka letih, mana orang tau.

Baru je suapan yang pertama, tiba-tiba pintu bilik kami diketuk. Masuk suapan kedua pintu dah kena terajang dah. Tergamam kami bila disergah oleh warden asrama.

Mana dia tau aktiviti kami ni? Siapa yang dah pecah lubang ni? Atau mungkin ada antara kami yang update status Facebook 'tengah makan tengahari di bulan Ramadan.Warden terbau ayam madu ke masa terserempak kat bawah tadi?

Rupa-rupanya warden dapat kesan jejak aku.Tanpa aku sedari rupanya sirap limau dalam beg tadi dah bocor. Dan dengan cantiknya titisan sirap tu jatuh ke lantai bermula dari tingkat bawah sampai la ke tingkat empat bilik aku. Tanpa susah-payah, warden ikut je mana air sirap tu menitis dan tau la siapa punya kerja.

Selepas dibicarakan aku didapati bersalah dan aku mendapat hukuman paling berat pasal aku la penganjurnya. Dendanya ialah membasuh toilet asrama, memotong rumput, siram pokok dan mengecat bangunan asrama selama satu semester. Dan berkat keperihatinan aku menjaga asrama, setahun kemudian aku dilantik menjadi ketua asrama. Alhamdulillah.

+sudah terantuk baru tengadah.
                 belajarlah dari kesilapan.



CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM.

Saturday, March 3, 2012

Ram Ram Rambutan

Di belakang rumah aku ada berdiri megah pokok rambutan. Bila aku kira, tak banyak mana pun ada la dalam sepuluh pokok. Tapi bila dah tiba musimnya memang hidup aku mewah dengan rambutan. Masak ranum mewah di atas, melambai-lambai ditiup angin. Tunggu saat je aku nikmati isinya yang lekang bukan dek panas.

Satu masalahnya buah rambutan ni bukannya gugur sendiri macam buah durian. Pokok pula tinggi-tinggi. Aku ni bukannya spesies memanjat,tak retinya. Menjalar atas tanah tau la aku.Biasanya orang kait pakai galah buluh yang diletak sabit hujungnya. Tapi galah ni Ya Rabbi...mengalahkan anak kerbau beratnya. Tak terangkat aku.

Jadi kena la pakai khidmat spesies memanjat. Ni dia, abang aku. Pasal tu la dia poyo dan eksen semacam je. Itu baru tahu panjat pokok, kalau tahu anyam tikar tak tau la macam mane. Satu lagi abang aku ni eksen pasal bila time musim buah dia lah yang jadi anak kepercayaan mak.

Sebelum dapat makan  rambutan ni la kena dera dengan abang dulu. Dia yang makan buahnya dulu. Kami yang kat bawah ni dia bagi kulit je.Dah puas dia makan baru dia ambilkan untuk kami,itu pun buah yang putik. Tak pe la, ini hari dia. Besok hari Jumaat belum tentu hari aku lagi. Entah bila boleh balas dendam ni.

Bila betul-betul musimnya, buah rambutan ni memang tak habis kami nak makan sekeluarga.Jadi mak akan jual kat pasar tani.Masa ni la aku dan kakak akan sibuk pasal paksa rela kena kutip buah rambutan ni. Dah itu je skill yang kami ada. Dah la waktu petang, time rancangan kartun tengah mengganas tu.

Bukan sikit punya kerja nak kutip rambutan ni. Dah tu kena cari dalam semak lagi. Entah terjumpa biawak atau Tyrannosaurus mana tau kan. Tak ke kerja bahaya tu. Tapi atas keinginan nak tolong mak, aku gagahkan juga sambil dalam kepala dok fikir apa jadi dengan Ultraman kat TV? Berjayakah dia bunuh raksasa cicak tu? Sekali turun padang biasanya dapat la dalam lima kelapan guni rambutan kami kumpul. Tak la semua pokok dihabiskan. Besok kena sambung lagi.

Esoknya pagi-pagi lagi mak dengan ayah bawa rambutan ke pasar tani. Bukan jual sendiri tapi tolak kepada peraih kat pasar. Tak tau pulak aku berapa mak letak harga untuk satu guni. Satu kilo rambutan rasanya RM3. Satu guni rasanya dalam 15 kilo kot. Ah! susahlah nak kira. yang pasti tiap kali jual rambutan kami sekeluarga dapat makan ayam. Kira mewah la tu.

Tapi itu dulu, masa tengah mewah dengan buah-buahan. Dulu nak makan buah apa petik je kat belakang rumah. Ada pokok durian, jambu batu, limau, manggis, mangga dan macam-macam lagi la. Sekarang nak makan semua kena beli. Nasib baik la pokok lalang tak de orang jual lagi.
Sekarang bila usha kat belakang rumah tu, pokok rambutan yang ranum berbuah dulu banyak dah jadi tunggul kayu. Ada pembalak haram ke yang dah ceroboh ni?


+bertani satu ibadah


CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM

Potong Rambut

Tengah aku syok main lawan pedang kayu dengan teman seperjuanganku,tiba-tiba ayah jerit dari dalam rumah suruh aku naik mandi. Aik... tengah hari macam ni suruh aku mandi macam ada projek je. Mesti nak pergi jalan-jalan ni.

Sepantas biawak aku pergi mandi. Sambil tu dalam kepala dok fikir mana ayah nak bawak aku ni. Beli mainan? Tak mungkin. Pergi funfair? Jauh sekali.

Habis je mandi ayah suruh pakai baju cepat-cepat. Nak pergi kedai gunting kata ayah. Ooo... patut la...Besok dah nak bukak sekolah.Bila tengok rambut aku ni dah macam berus sabut kelapa dah aku tengok.

Jarak antara kedai gunting dari rumah tak la jauh sangat. Naik motor klasik ayah pun boleh sampai. Biasanya dua bulan sekali ayah akan pergi ke kedai gunting ni. Nanti lepas potong rambut boleh la pekena "ABC berdengung" macam biasa.

Inilah kedai gunting favourite ayah. Rasanya sejak remaja lagi ayah dah gunting kat sini.Kedai ni kedai papan, memang dah lama. Mesti askar Jepun dulu pun potong rambut kat sini.Cuma sampai sekarang aku tak faham kenapa kedai gunting dulu-dulu ada benda warna-warni yang berpusing kat luar ni. Pening la tengok lama-lama.

Inilah tauke kedai gunting tu,orang panggil Pak Haji Mustapa, bekas pesara polis. Kedai ni pun diwarisi dari arwah ayahnya.Bisnes turun-temurun la ni. Tapi rasanya lepas ni setakat Pak Haji je la yang jadi tukang gunting pasal anaknya lebih minat nak jadi artis realiti. Kedai Pak Haji sentiasa penuh. Kalau dah tengah hari baru nak pergi ni,tunggu giliran la jawabnya.

Dah kedai pun lama, barang-barang kat kedai ni pun semuanya barang lama. Dah boleh dipanggil antik macam tuannya, daripada kipas angin, radio, sampai la ke peralatannya. Ini kalau jual kat 'Ebay' ni mau cecah ribu-ribu ni.

Tiba la giliran aku. Hari ni aku dah siap bawa sekeping gambar nak tunjuk kat Pak Haji Mustapa. Biar dia ikut style rambut macam dalam gambar tu. Baru ada style. Sebelum ni gaya rambut aku asyik sama aje. Tak up to date langsung.

Potong rambut ni bukannya sekejap. Sambil potong rambut Pak Haji sempat borak-borak lagi dengan pelanggan yang menunggu, sampai boleh buat tertidur. Bila dah tidur tu kadang-kadang mimpi-mimpi indah yang keluar. Erm... besok kat kat sekolah kawan-kawaan mesti teruja tengok rambut aku.

Tapi itu cuma mimpi di siang hari. Sedar-sedar rambut aku tetap macam potongan dulu juga. Sama ada Pak Haji memang tak tau potong style lain atau memang ayah aku dah berpakat dengannya. Tak tau la.



+kembali ke sekolah dengan semangat baru.

CERITA INI DIAMBIL DARI ANA MUSLIM